
“Buat masa ini, Mesyuarat Kuartet telah memutuskan untuk menangguhkan seketika usaha kita untuk beralih ke Fasa ‘Peralihan ke Endemik’ sehingga kita mengetahui lebih lanjut tentang VOC Omircon.
“Susulan penularan varian ini, buat masa ini, SOP semasa dalam negara untuk negeri dalam Fasa 3 dan 4 masih kekal,” kata Menteri Kanan Pertahanan, Hishammuddin Hussein dalam kenyataan.
Beliau berkata, setakat ini, kerajaan ambil maklum bahawa varian ini bukan sahaja telah menular di selatan benua Afrika, tetapi juga di tempat negara lain antaranya, Itali, Denmark, Australia, United Kingdom, Belgium dan Hong Kong.
“Saya ingin menasihatkan orang ramai agar terus berwaspada dan berdisiplin dalam menjaga keselamatan diri dan orang sekeliling,” katanya.
Hishammuddin turut mengingatkan semakin ramai orang dijangkiti, peluang untuk virus Covid-19 mengalami mutasi menjadi semakin tinggi dan varian baharu boleh terhasil.
Katanya, walaupun belum ada kes varian Omicron dilaporkan di negara ini, Kementerian Kesihatan (KKM) pada 27 Nov, mengenakan sekatan terhadap pengembara warga Malaysia supaya tidak berkunjung ke tujuh negara Afrika.
Negara berkenaan adalah Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia dan Zimbabwe.
“Kerajaan akan mengenakan kawalan sempadan antarabangsa yang lebih ketat ke atas negara-negara yang telah melaporkan penyebaran varian Omicron. KKM akan mengumumkan perkara ini secara terperinci tidak lama lagi,” katanya.