SOP PRN Sarawak dimuktamad 30 Nov, kata KJ

SOP PRN Sarawak dimuktamad 30 Nov, kata KJ

Menteri Kesihatan berkata perbincangan telah diadakan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak tengah hari tadi.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata beberapa perkara perlu diperhalusi sebelum dimuktamadkan dan diusulkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.
PETALING JAYA:
Prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 khusus bagi pilihan raya negeri (PRN) Sarawak ke-12 akan dimuktamadkan hujung bulan ini, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata, perbincangan mengenai SOP telah diadakan dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak tengah hari tadi, dan Timbalan Menteri Kesihatan Aaron Ago Dagang ditugaskan menyelaras perkara itu dengan kerajaan negeri.

“Ada beberapa perkara perlu diperhalusi, saya telah memberi masa sehingga 30 Nov ini untuk dimuktamadkan dan kemudian ia akan diusulkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR),” katanya menurut laporan Bernama.

SPR menetapkan 18 Dis sebagai hari pengundian bagi PRN Sarawak ke-12 manakala hari penamaan calon pula ditetapkan pada 6 Dis, dan pengundian awal 14 Dis.

Sementara itu, berhubung isu Gerakan Hartal Doktor Kontrak yang dijangka memulakan siri mogok kedua di seluruh negara berkaitan masalah lantikan tetap, Khairy berkata pihaknya akan mengemukakan satu memorandum kepada Jemaah Menteri bagi mencari penyelesaian jangka masa panjang mengenai isu berkenaan dalam masa terdekat.

Baru-baru ini beberapa media melaporkan pergerakan Hartal Doktor Kontrak akan mengadakan satu mogok selepas mendakwa Bajet 2022 tidak menyelesaikan masalah doktor kontrak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.