
Chong Yun Fak yang kini berusia 60 tahun, ditahan pada 23 Julai 1987 kerana mengedar 47.4g heroin di Taman Seri Pelangi, Johor Bahru.
Bapa beranak empat itu kemudian dihukum mati pada 22 Mac 1992.
Dalam sidang media hari ini, Penyelaras Anti-Death Penalty Asia Network (ADPAN) Sky Siaw berkata, Chong wajar diberikan pengampunan. Beliau turut menyerahkan memorandum berhubung perkara itu kepada pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Dalam memorandum itu, ADPAN menyifatkan sebagai tidak adil untuk melaksanakan hukuman mati terhadap Chong, yang telah dipenjara lebih 34 tahun termasuk menjadi banduan akhir selama 29 tahun.
ADPAN berkata, mengekalkan hukuman mati tidak selaras dengan perancangan kerajaan ke arah menghapuskannya.
Siaw berkata, keluarga Chong telah memfailkan banyak petisyen kepada Lembaga Pengampunan Johor untuk merayu pengampunan tetapi tidak pernah menerima sebarang maklum balas rasmi.