PN tidak pernah minta jawatan dalam kerajaan Melaka, kata Wan Saiful

PN tidak pernah minta jawatan dalam kerajaan Melaka, kata Wan Saiful

Bersatu hairan perkara ini dibangkitkan sedangkan tumpuan PN memperkukuhkan parti atas tapak yang dibina.

PN menerusi Bersatu mempunyai dua wakil di DUN Melaka iaitu Mohd Aleef Yusof di Sungai Udang dan Mohd Yadzil Yaakub (Bemban).
PETALING JAYA:
Perikatan Nasional (PN) tidak pernah meminta apa-apa jawatan untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka menyertai kerajaan negeri.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Saiful Wan Jan berkata, beliau hairan mengapa perkara ini dibangkitkan kononnya dua ADUN mereka mahu menjadi sebahagian daripada kepimpinan negeri.

PN menerusi Bersatu mempunyai dua ADUN yang menang dalam pilihan raya negeri (PRN) iaitu Mohd Aleef Yusof di kerusi Sungai Udang dan Mohd Yadzil Yaakub (Bemban).

“Entah dari mana datang cerita mengenai ADUN PN mahu menyertai kerajaan negeri Melaka. Saya mahu tegaskan bahawa pimpinan tertinggi PN tidak pernah meminta apa-apa jawatan untuk ADUN PN Melaka.

“Sebaliknya kita akan mengkaji keputusan PRN Melaka, terutama jumlah sokongan yang kelihatan meningkat kepada kita di banyak kawasan. Dan kita akan rangka strategi untuk membolehkan kita memperkukuh parti di atas tapak yang telah terbina.

“Kita akan jadikan PRN Melaka sebagai batu loncatan untuk mengorak langkah mara ke hadapan,” katanya di Facebook.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Mohamad Hasan menegaskan tiada keperluan untuk dua ADUN baharu daripada PN dilantik sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka.

Katanya, BN tidak berada dalam kedudukan yang memerlukan parti itu untuk membawa masuk dua ADUN berkenaan sebagai ahli Exco dalam pembentukan kerajaan negeri Melaka.

Beliau juga berpandangan, tiada keperluan mereka berada dalam barisan Exco Melaka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.