
Peguam Hamidi Mohd Nor berkata, bekas setiausaha Zahid, Mazlina Mazlan@Ramly memegang buku cek yayasan terbabit dan dia juga mengaku menggunakan cop tandatangan untuk mengeluarkan cek.
“Kita telah membuktikan bahawa dia (Mazlina) ‘cuai’, dan dia tidak tahu bagaimana kad kredit dan cek berfungsi,” katanya dalam hujah pasukan pembelaan pada akhir kes pendakwaan hari ini.
Hamidi berkata, cop tandatangan itu sebenarnya untuk Zahid mengecop kad ucapan.
“Bagaimanapun, Mazlina mengawal cop tandatangan itu dan menggunakannya untuk mengecop cek,” katanya.
Zahid dihadapkan ke mahkamah atas 47 tuduhan pengubahan wang haram dan pecah amanah dana milik Yayasan Akalbudi dan menerima rasuah berkaitan beberapa projek ketika menjadi Menteri Dalam Negeri.
Tuduhan itu membabitkan 12 kes pecah amanah, lapan kes rasuah dan selebihnya 27 kes pengubahan wang haram.
Terdahulu, mahkamah diberitahu bahawa Zahid dan isterinya, Hamidah Khamis memiliki lebih 20 kereta mewah serta motosikal, dan dana Yayasan Akalbudi digunakan untuk membayar polisi insurans mereka.
Selain insurans kenderaan, sebanyak RM1.3 juta dana yayasan digunakan untuk pembayaran bil kad kreditnya selepas membeli barangan di kedai berjenama mewah di dalam dan luar negara.
Pihak pembelaan mengulangi bahawa tiada elemen pecah amanah dilakukan Zahid terhadap dana Yayasan Akalbudi dan firma guaman Lewis & Co berkhidmat sebagai pemegang amanah yayasan itu.
“Wang terbabit masih dimiliki oleh Yayasan Akalbudi dan tidak dipindahkan kepada pihak ketiga,” kata Hamidi.
Pendengaran kes di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung pada Rabu selepas Zahid memberitahu mahkamah beliau tidak sihat.
“Saya tidak dapat meneruskan kerana kesakitan ini amat mengganggu,” katanya memaklumkan kesakitan dialaminya berkait dengan penyakit gout.