Rakyat Melaka akan pilih yang ‘ori’, bukan ‘katak’, kata Puad

Rakyat Melaka akan pilih yang ‘ori’, bukan ‘katak’, kata Puad

Puad Zarkashi berkata PN suka meniru BN dalam banyak aspek bagi tujuan mengelirukan rakyat.

Perikatan Nasional banyak meniru Barisan Nasional dari segi warna bendera dan logo bagi mengelirukan rakyat, menurut Puad Zarkashi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang pemimpin Umno yakin rakyat Melaka akan memilih gabungan parti yang “ori” (tulen) dalam pilihan raya negeri (PRN) itu esok berbanding “katak”.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi berkata demikian sebagai membidas langkah Perikatan Nasional (PN) yang didakwanya “suka meniru” Barisan Nasional (BN) dalam banyak aspek dengan tujuan mengelirukan rakyat.

“Akhirnya PN tiru BN juga umum calon Ketua Menteri. Apa pun, rakyat Melaka akan pilih yang ‘ori’, iaitu BN. Bukan pilih ‘katak’.

“Tetapi orang buta pun dapat bezakan. Dia tahu madu di tangan kanan dan racun di tangan kiri. Dia tetap pilih BN (madu) di tangan kanan,” katanya di Facebook.

Semalam, PN menamakan Mas Ermieyati Samsudin sebagai calon tunggal Ketua Menteri Melaka jika gabungan itu menang dalam PRN esok.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi PN Muhyiddin Yassin, hanya dua hari sebelum hari mengundi esok, berbanding BN dan Pakatan Harapan (PH) yang sudah menamakan calon Ketua Menteri masing-masing lebih awal.

BN sebelum ini mengumumkan Sulaiman Md Ali sebagai calon Ketua Menteri Melaka sementara PH menamakan Adly Zahari sebagai calon tunggal jika gabungan itu memenangi PRN.

Dalam pada itu, Puad juga membidas PN yang disifatkannya sebagai gabungan parti tiruan dan tidak original.

Beliau berkata, PN banyak meniru BN dari segi warna bendera dan logo untuk mengelirukan rakyat.

“Umno warna merah, Bersatu tiru warna merah. Umno ada logo Bersatu, Bersatu juga guna nama Bersatu.

“BN warna biru, PN pun warna biru juga (biru pudar). BN ada perkataan nasional, PN pun guna nama nasional juga,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.