
Dengan tumpuan terarah kepada tiga parti membabitkan Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PN) mahupun Perikatan Nasional (PN), untuk meraih majoriti mudah 15 kerusi bagi membentuk kerajaan, pastinya banyak pihak berminat melihat kemungkinan yang berlaku di beberapa kerusi panas, esok.
FMT meninjau lapan kerusi panas yang menjadi rebutan dengan penganalisis politik seperti Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura Oh Ei Sun, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya dan bekas pensyarah Universiti Teknologi Malaysia Azmi Hassan, membuat jangkaan parti yang mempunyai peluang besar menguasai kerusi terbabit.
Tanjung Bidara
Kerusi dengan 94% pengundi Melayu menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN, PH dan BN. Pertembungan di kerusi ini mungkin yang paling menarik kerana membabitkan dua nama besar, Ketua BN Melaka Ab Rauf Yusof dan calon Ketua Menteri PN Mas Ermieyati Samsudin. Bagi PH pula, calon dikemukakan ialah Zainal Hassan dari PKR. Tanjung Bidara menjadi kubu kuat Umno dan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), BN menang di kerusi berkenaan dengan majoriti 2,800 undi.
Ramalan penganalisis:
Sebulat suara BN menang
Lendu
Ketua Menteri Sementara, Sulaiman Md Ali, menang di kerusi ini dengan majoriti tipis iaitu 627 undi, dalam pertandingan tiga penjuru melawan Bersatu dan PAS pada PRU14. Kali ini, Bersatu dan PAS berada dalam pasukan sama mewakili PN dengan mencalonkan Abdullah Mahadi untuk merampas kerusi panas itu. Bagaimanapun, Abdullah juga perlu berdepan pencabar PH, Mohamad Asri Ibrahim, yang diramal menguasai sejumlah besar undi bukan Melayu, di kawasan yang mempunyai 20% pengundi kumpulan terbabit.
Ramalan penganalisis:
Oh: 50-50 antara BN dan PH
Awang Azman: BN
Azmi: Sukar ditentukan
Bukit Katil
Pengerusi PH Melaka Adly Zahari, diramal mudah mempertahankan kerusi dengan campuran penduduk di kawasan bandar. Pada PRU14, Adly daripada Amanah menang bergaya selepas memperoleh majoriti 3,000 undi. Beliau dijangka tidak berdepan masalah kembali menyandang kawasan itu dalam berdepan calon PN Muhammad Al Hafiz Yahya; calon BN Hasnoor Husin; dan calon Bebas Abdul Hamid. Kerusi bandar itu mempunyai 64% pengundi Melayu, Cina (31%) dan India (4%).
Ramalan penganalisis:
Sebulat suara PH menang
Telok Mas
Dalam pertembungan di Telok Mas, calon PN yang juga Pengerusi PN Melaka, Mohd Rafiq Naizamohideen, akan berentap bagi mempertahankan kerusi dimenangi Bersatu pada PRU14 oleh Noor Effandi Ahmad, yang telah disingkirkan parti berkenaan. Noor Effandi antara empat wakil rakyat yang menjadi punca kejatuhan kerajaan negeri ditunjangi Sulaiman. Kerusi Telok Mas adalah kawasan dengan 74% pengundi Melayu, yang berkemungkinan memberi kelebihan kepada Rafiq. Namun, pertandingan di kerusi ini tidak semestinya mudah kerana Rafiq perlu berdepan dua calon popular, masing-masing Ashraf Mukhlis Minghat (PH); dan Abd Razak Rahman (BN); selain calon Bebas, Ariff Adly.
Ramalan penganalisis:
Oh: PH
Awang Azman: Sukar ditentukan
Azmi: PN
Asahan
Pertembungan enam penjuru menanti bekas Ketua Menteri Idris Haron, yang berpindah kawasan dari Sungai Udang dengan pertama kali bertanding di bawah bendera PH. Dengan jumlah pengundi Melayu lebih kecil pada kadar 64%, berbanding 80% di Sungai Udang, Idris yang juga calon PKR perlu mengharapkan sokongan pengundi Cina (23%) dan India (11%) bagi meningkatkan peluangnya untuk menang. Beliau berdepan Ketua Pemuda Umno negeri, Fairul Nizam Roslan; calon PN Dhanesh Basil; dan tiga calon Bebas. Penyandang kerusi itu, Allahyarham Abdul Ghafar Atan, menang kerusi berkenaan mewakili BN dengan majoriti tipis, 275 undi, pada PRU14.
Ramalan penganalisis:
Oh: 50-50 antara BN dan PH
Awang Azman: PH
Azmi: BN
Pantai Kundor
Bekas wakil rakyat Umno, Nor Azman Hassan, akan mempertahankan kerusi dimenanginya pada PRU14, namun kali ini bertanding di bawah PH. Beliau akan dicabar calon PN dari Bersatu Mohamad Ridzwan Mustafa; dan calon BN Tuminah Kadi, yang juga Ketua Wanita Umno bahagian ketika Noor Azman, menjadi Ketua Bahagiannya, sebelum wakil rakyat yang menjadi pencetus keruntuhan kerajaan pentadbiran Sulaiman itu dipecat Umno. Pada PRU14, Noor Azman menang di kerusi berkenaan yang mempunyai 81% pengundi Melayu dengan majoriti 772 undi.
Ramalan penganalisis:
Oh: 50-50 antara BN dan PH
Awang Azman: BN
Azmi: BN
Kelebang
Pada 2018, wakil PH, Gue Teck menewaskan wakil BN, Lim Ban Hong, dengan kemenangan tipis, 789 undi. Gue Teck sekali lagi akan berentap melawan Lim yang kini menjadi Naib Presiden MCA dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Kedua-duanya akan bertanding menentang calon PN Bakri Jamaluddin dari PAS. Kelebang mempunyai 67% pengundi Melayu, 31% Cina dan 2% India.
Ramalan penganalisis
Oh: PH
Awang Azman: 50-50 antara PH dan BN
Azmi: PH
Duyong
Anak dan abang kepada dua penyandang kerusi itu dari MCA, Gan Tian Soh, bertanding dengan harapan melakukan kejutan di kawasan yang menyaksikan pertembungan enam penjuru. Penyandang dari PH, Damian Yeo, menang di kerusi terbabit dengan majoriti 2,895 undi pada PRU14, dan akan berdepan calon PN yang juga Pesuruhjaya PAS negeri, Kamarudin Sedik; calon BN Mohd Noor Helmy; calon Putra Mohd Faizal Amzah; Gan; dan seorang calon Bebas Muhamad Hafiz Ishak. Kerusi separa bandar itu berada berdekatan pusat bandar, dengan 60% pengundi Melayu, 35% Cina dan 5% India.
Ramalan penganalisis:
Sebulat suara PH menang