
Calon berusia 47 tahun itu adalah anak bongsu daripada tujuh beradik dan berasal dari sebuah keluarga yang setia kepada MCA.
Beliau mencetus kejutan ketika menghantar kertas penamaan calon pada 8 Nov bersama rakan baiknya sebagai pencadang manakala bapanya penyokong.
Abangnya yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Tian Loo, dipetik sebagai berkata dia dan keluarganya tidak akan mengundi Tian Soh.
Tian Soh memberitahu FMT bapanya menyokongnya untuk bertanding di kerusi itu walaupun terpaksa melakukannya sebagai calon Bebas.
Menurutnya, bapanya tahu sifat untuk membantu rakyat sentiasa ada dalam dirinya.
Sejak zaman kanak-kanak lagi katanya, beliau sering mengagumi bapanya yang berusaha keras untuk membantu rakyat.
“Salah satu cita-cita saya ialah untuk menjadi sepertinya,” katanya. “Bapa tahu saya suka menolong orang. Kemudian, baru-baru ini, dia kata, ‘Pergi dan bantu orang ramai. Pergi dan bertanding untuk pilihan raya. Jangan fikir parti. Kalau kamu boleh bertanding untuk MCA, maka tiada masalah. Tetapi walaupun parti lain, buat saja.’
“Jadi saya rasa ini masa yang sesuai. Sama ada hasilnya baik atau buruk, sekurang-kurangnya saya sudah cuba yang terbaik. Bila umur saya mencecah 80 tahun dan melihat ke belakang, saya boleh kata saya tak menyesal sebab saya sudah cuba.”
Boon Leong yang kini berusia 84 tahun, terkenal kerana menjuarai banyak pertandingan bina badan. Terdapat beberapa patung yang serupa dengannya di Jonker Street yang turut menjadi tarikan pelancong.
Beliau adalah ADUN Duyong dari Barisan Nasional sejak 1995 hingga 2004, sebelum menyerahkan kepada Tian Loo, yang memegang kerusi itu sehingga 2013.
Tian Soh meletakkan jawatan daripada MCA pada hari penamaan calon. Beliau telah menjadi ahli parti sejak berusia 19 tahun.
Katanya, beliau tidak mempunyai masalah peribadi dengan MCA dan alasan beliau bertanding dalam pilihan raya adalah semata-mata untuk berkhidmat kepada rakyat. Itu sentiasa menjadi matlamatnya sebagai ahli parti, tambahnya.
Duyong adalah satu daripada tiga kerusi yang akan menyaksikan pertembungan enam penjuru pada PRN Sabtu ini.
Tian Soh akan menentang penyandang Setiausaha DAP Melaka Damian Yeo (Pakatan Harapan), Pesuruhjaya PAS Melaka Kamarudin Sedik (Perikatan Nasional), Mohd Noor Helmy Abd Halen (Barisan Nasional), Mohd Faizal Amzah (Putra) and seorang lagi Bebas, Muhamad Hafiz Ishak.