Sukar kawal selia judi dalam talian, kata pakar ekonomi

Sukar kawal selia judi dalam talian, kata pakar ekonomi

Undang-undang baharu boleh meningkatkan ekonomi tetapi pihak berkuasa mungkin menghadapi masalah dalam mengawal selia operasi di luar negara.

Kerajaan sepatutnya melaksanakan program pendidikan bagi melarang anak muda terjebak dalam aktiviti perjudian, menurut pakar ekonomi. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Undang-undang baharu bagi mengawal selia perjudian dalam talian akan meningkatkan ekonomi dan melindungi golongan muda daripada menjadi ketagih tetapi pelaksanaannya mungkin akan sedikit terjejas, kata seorang ahli ekonomi.

Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway berkata, mengawal selia dan melesenkan perjudian dalam talian akan memastikan negara tidak kehilangan hasil cukainya.

Bagaimanapun, beliau menekankan beberapa cabaran untuk mengawal selia laman perjudian yang beroperasi di luar negara yang juga di luar bidang kuasa Malaysia.

“Internet adalah luas dan tanpa sempadan jadi sukar untuk mengawal selianya mengikut undang-undang kita,” katanya kepada FMT.

Beliau mencadangkan agar agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia boleh menyekat laman-laman tersebut bagi memaksa mereka mendaftar jika ingin menjangkau penduduk Malaysia.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Zahidi Zainul Abidin yang dilaporkan berkata, terdapat cadangan untuk menggubal undang-undang bagi melesenkan perjudian dalam talian sebagai cara untuk mengenakan cukai ke atas aktiviti sedemikian di negara ini.

Zahidi juga berkata, undang-undang yang dicadangkan itu akan membolehkan pihak berkuasa memantau aktiviti perjudian dalam talian di samping mengutip hasil cukai.

Yeah juga berkata, masalah lain mungkin timbul dengan pendaftaran perniagaan perjudian dalam talian ini. “Adalah sukar untuk membuat mereka tampil dengan rela hati,” katanya.

Beliau berkata, mengawal selia perjudian perlu seiring dengan kempen kesedaran pendidikan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak yang sedang bersekolah supaya mereka tidak menjadi mangsa perjudian dalam talian.

Seorang lagi ahli ekonomi, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pendidikan Pasaran Malaysia Carmelo Ferlito berkata, adalah penting untuk menjelaskan sama ada matlamat undang-undang yang dicadangkan itu adalah “hukuman moral” atau untuk meningkatkan hasil cukai.

“Kebanyakan mereka yang berjudi akan meneruskan aktiviti meskipun berdepan cukai dan peraturan yang lebih ketat dan hasilnya ialah banyak isi rumah miskin yang berjudi menjadi lebih miskin.

“Tingkah laku buruk seperti merokok dan berjudi adalah ketagihan. Peraturan tidak akan menghalang mereka. Beban tambahan tidak akan dirasai oleh yang kaya tetapi yang miskin akan bertambah miskin,” katanya.

“Peraturan hanya akan meningkatkan aktiviti haram dan pasaran gelap perjudian,” katanya. Bagaimanapun dasar berasaskan ganjaran boleh mencapai matlamat kebajikan yang sama tanpa “kesan sampingan buruk” yang disebabkan oleh langkah punitif seperti peningkatan dalam aktiviti perjudian haram.

“Contohnya mungkin boleh adakan program dan sokongan kewangan bagi mereka yang ingin berhenti daripada ketagihan (berjudi) terutamanya bagi segmen penduduk miskin,” katanya.

Penasihat Pusat Pemulihan Judi Malaysia (GRC) Mosco Ang berkata, kerajaan harus melabur dalam kempen pendidikan di sekolah, terutama menyasarkan mereka yang berada di Tingkatan 6 dan kolej.

“Golongan muda perlu sedar bahawa perjudian boleh memusnahkan keluarga, kerjaya dan masa depan mereka,” katanya.

Pakar percukaian Veerinderjeet Singh berkata, membenarkan perjudian dalam talian hanyalah langkah untuk menguruskan industri supaya perniagaan didaftarkan.

“Itu juga akan membawa kepada pelaporan akaun tahunan dan oleh itu kebenaran (perjudian dalam talian) adalah untuk tujuan cukai pendapatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.