Fasa 1 MRT laluan Putrajaya ditangguh lagi

Fasa 1 MRT laluan Putrajaya ditangguh lagi

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Mohd Zarif Hashim berkata ia berikutan terdapat 'aktiviti masih belum selesai' semasa operasi percubaan.

Fasa 1 laluan MRT Putrajaya telah dijadualkan dibuka pada Ogos, namun ditangguhkan ke pertengahan November.
PETALING JAYA:
Operasi Fasa 1 laluan MRT Putrajaya ditangguhkan dan tidak dapat dibuka untuk perkhidmatan berbayar bulan ini seperti yang dijadualkan.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Mohd Zarif Hashim berkata, garis masa pembukaan perlu diperhalusi berikutan aktiviti yang masih belum selesai semasa operasi percubaan.

“Operasi percubaan untuk bahagian MRT Putrajaya Laluan Fasa Satu telah berjalan sejak 29 April,” katanya dalam kenyataan.

“Sejumlah 16 tren telah diuji beroperasi di antara Stesen MRT Kwasa Damansara dan Stesen MRT Kampung Batu dalam keadaan perkhidmatan penuh setiap hari namun tanpa penumpang, dalam simulasi operasi sebenar.

“Sepanjang tempoh ini, pemeriksaan terperinci akhir dan demonstrasi prestasi sistem telah berjalan. Setakat ini, kedua-dua aktiviti tersebut masih belum selesai.

“MRT Corp tidak dapat mengambil alih aset daripada kontraktor serah kunci yang dilantik.”

Zarif berkata tren MRT telah mencatatkan lebih 3,000 jam operasi percubaan dan banyak data telah terkumpul.

“Setelah meneliti sendiri data tersebut, kami mendapati bahawa antara beratus-ratus modul sistem yang telah dilaksanakan, dua modul perlu diperhalusi dengan lebih lanjut.

“Kami perlu memastikan semua lapisan sistem primer, sekunder dan ketiga adalah stabil sebelum kami dapat mengambil alih aset ini dan meluluskannya untuk operasi,” katanya.

Sebelum ini, Fasa 1 dijadualkan dibuka pada Ogos tetapi ditunda ke pertengahan November.

Laluan MRT Putrajaya (dahulunya dikenali sebagai Laluan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya) meliputi jarak 56.2km, dengan 36 stesen dari Kwasa Damansara ke Putrajaya.

Fasa 1 merangkumi lebih 17.5km dari Kwasa Damansara ke Kampung Batu dan akan menghubungkan tempat-tempat seperti Damansara Damai, Bandar Sri Damansara, Kepong, Jinjang dan Kampung Batu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.