Nilai Rt seluruh negara naik 1.0, KKM pantau kemasukan wad

Nilai Rt seluruh negara naik 1.0, KKM pantau kemasukan wad

Kali terakhir Malaysia merekodkan Rt atas 1.0 pada 31 Ogos iaitu 1.02.

Sebanyak 6,323 kes Covid-19 direkodkan semalam dengan 538 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi.
PETALING JAYA:
Kementerian Kesihatan sedang memantau kemasukan ke wad hospital dan petunjuk lain selepas negara merekodkan nilai kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) Covid-19 pada kadar 1.0 semalam.

Kali terakhir Malaysia merekodkan nilai Rt melebihi 1.0 adalah pada 31 Ogos, iaitu 1.02.

Justeru, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam catatan di Twitter mengingatkan orang ramai terutama warga emas supaya mengelakkan lokasi tumpuan orang ramai untuk mengurangkan penularan wabak Covid-19.

Beliau turut menasihati orang awam yang sudah mendapat janji temu dos penggalak vaksin Covid-19 untuk mengambilnya.

“Rt kebangsaan kembali ke 1.0. Kita sedang pantau kemasukan wad hospital dan petunjuk lain. Jika anda sudah diberikan janji temu untuk dos penggalak, sila ambil.

“Untuk warga emas, jika boleh, elakkan tempat sesak. Praktis #TRIIS,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Rt pada jangkaan mengikut kes seharian bagi seluruh negara adalah 1.0 dengan Putrajaya merekodkan Rt tertinggi, iaitu 1.16.

Ini diikuti Kuala Lumpur (1.04), Selangor (1.03) Kelantan (1.02), Negeri Sembilan dan Pahang (1.01).

Sebanyak 6,323 kes Covid-19 direkodkan semalam dengan 538 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.