PRN Melaka: Keputusan benar calon kempen di media rasmi kerajaan akan diumum, kata Annuar

PRN Melaka: Keputusan benar calon kempen di media rasmi kerajaan akan diumum, kata Annuar

Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan RTM untuk memungkinkan ruang sama rata diberikan kepada semua calon bertanding.

Kerajaan memahami kesulitan dialami semua parti politik terutama calon baharu berkempen dalam suasana norma baharu pada PRN Melaka. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Kerajaan bersedia menimbang memberi ruang kepada calon pilihan raya negeri (PRN) Melaka, termasuk daripada pembangkang untuk berkempen menerusi saluran televisyen dan radio rasmi kerajaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Annuar Musa, berkata ini kerana kerajaan memahami kesulitan dialami semua parti politik terutama calon baharu berkempen dalam suasana norma baharu.

“Saya faham masalah mereka dan saya terima hakikat bahawa ada orang cakap ia sedikit ‘handicap’ (sulit) terutama kepada calon baharu.

“Walaupun parti politik memperkenalkan kaedah baharu (berkempen), tetapi masih (ada keperluan) memberi peluang kepada mereka muncul di rangkaian televisyen.

“Oleh itu, kita akan mengadakan perbincangan dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk memungkinkan ruang sama rata diberikan kepada semua calon. Saya akan membuat pengumuman mengenainya dalam sehari dua ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyaksikan Majlis Pembentangan dan Demonstrasi ‘5G Multi-Operator Core Network (MOCN) Integration’ di Telekom Malaysia Titiwangsa, di sini.

Annuar mengulas permintaan Pakatan Harapan (PH) supaya setiap parti bertanding di PRN Melaka, diberi ruang atau slot dalam media rasmi kerajaan untuk berkempen.

Isnin lalu, Jawatankuasa Komunikasi, Digital dan Multimedia PH memohon agar setiap parti diberikan tempoh sekurang-kurangnya 30 minit untuk berceramah di TV1, TV2, dan Bernama TV pada setiap malam serta 60 minit berceramah di Melaka FM dan Bernama Radio pada setiap hari.

Ini ekoran ketetapan prosedur operasi standard Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang tidak membenarkan calon dan parti dalam PRN Melaka mengadakan aktiviti ceramah, berhimpun, ziarah rumah ke rumah dan tinjauan mesra.

Sebaliknya, calon disaran menggunakan saluran televisyen, akhbar serta media sosial selain boleh menyebarkan risalah atau menggunakan lori dan van bergerak untuk menyebarkan manifesto dan berkempen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.