Nilai semula SOP PRN Melaka, BN beritahu SPR

Nilai semula SOP PRN Melaka, BN beritahu SPR

Kelonggaran perlu diberikan memandangkan parti perlu menemui pengundi di kawasan masing-masing.

SPR perlu membenarkan kempen dengan syarat meminimumkan orang terlibat dan perkara itu pernah dilakukan ketika pilihan raya kecil DUN Slim dan Chini, kata Mohamad Hasan. (Gambar Bernama)
AYER KEROH:
Barisan Nasional (BN) meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menilai semua pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang dianggap menyukarkan parti menjalankan kempen sepanjang pilihan raya negeri (PRN) Melaka.

Pengarah Pilihan Raya BN, Mohamad Hasan berkata, pihaknya menerima banyak laporan daripada jentera parti termasuk tidak boleh memasang bendera serta tidak boleh menubuhkan bilik gerakan di Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Katanya, BN memahami situasi pandemik Covid-19 hari ini namun kelonggaran perlu diberikan memandangkan parti perlu menemui pengundi di kawasan masing-masing.

“Kita pun faham tetapi untuk menghantar bantuan ke rumah pengundi pun takkan tidak boleh. Sudahlah kita tidak boleh ‘walkabout’ di pasar atau mana-mana tempat,” katanya.

Mohamad berkata, SPR harus memikirkan semula pelaksanaan SOP dan tidak perlu melampau sehingga ada antara mereka meminta kad pengenalan daripada jentera parti untuk pemeriksaan.

Katanya, SPR perlu membenarkan kempen dengan syarat meminimumkan orang terlibat dan perkara itu pernah dilakukan ketika pilihan raya kecil DUN Slim dan Chini.

“BN berharap fikir semula supaya kita mencapai suatu keadaan yang mana jangkitan Covid-19 dapat dikurangkan. Di Melaka, terdapat banyak kampung dan parti perlu bertemu pengundi masing-masing.

“Kelonggaran wajar diberikan kerana ia boleh menggugat kemeriahan pilihan raya. BN memandang serius SOP yang dibuat dan akan patuh sepanjang masa,” katanya.

Beliau berkata, memadai jika kelonggaran diberikan memandangkan peratus penduduk di negeri itu lengkap divaksin melepasi 90%.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.