Osman sudah stabil namun belum pulih sepenuhnya

Osman sudah stabil namun belum pulih sepenuhnya

Bekas Menteri Besar Johor itu masih dirawat di Hospital Serdang selepas diserang angin ahmar bulan lalu.

Keluarga Osman Sapian memaklumkan beliau masih belum dapat menggerakkan anggota badan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas Menteri Besar Johor Osman Sapian yang sebelum ini diserang angin ahmar dilaporkan dalam keadaan stabil namun belum pulih sepenuhnya.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Penerangan Bersatu Johor Mohd Solihan Badri yang memaklumkan perkembangan terkini Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas selepas dimasukkan ke hospital bulan lalu.

Solihan berkata, beliau dimaklumkan oleh keluarga Osman bahawa bekas Menteri Besar itu masih belum pulih sepenuhnya dan belum dapat menggerakkan anggota badan.

“Beliau perlu mengambil masa untuk mendapatkan rawatan dan kini sedang dirawat di Hospital Serdang,” katanya menurut laporan Utusan Malaysia.

Pada 13 Okt lalu, Osman, 70, dilaporkan diserang angin ahmar di kediaman beliau menyebabkannya perlu dikekalkan di hospital.

Beliau yang juga Ketua Bersatu Ayer Hitam dilantik sebagai Menteri Besar Johor ke-16 selepas pilihan raya umum pada 2018.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.