
Setiap minggu apabila keluar berniaga, Ah Yauddin Ahmad, 63, dengan kudrat tua yang tersisa akan membawa Roslina Yusuf, 57, bersama.
Isterinya tidak mampu bergerak sendiri, bertutur mahupun makan seperti orang lain selepas diserang angin ahmar lima tahun lalu. Kaki kirinya dipotong akibat komplikasi kencing manis.
Yauddin sedar tubuhnya dimamah usia namun tidak sanggup meninggalkan isteri dijaga orang lain, lebih tenang berniaga dengan Roslina di sisi.

“Saya dengan dia tak pernah berenggang, memang ada masanya terlintas penat tapi bila fikir sayang pada dia, jadi biarlah kita sama-sama susah,” katanya.
Yauddin sudah lima tahun berniaga air balang di Meru, Klang dan Pantai Dalam, Kuala Lumpur. Dia memberitahu FMT sebenarnya Roslina lebih pandai berniaga daripadanya.
Keuzuran ‘rakan kongsinya’ itu telah melumpuhkan semangat Yauddin untuk berniaga.
“Semasa dia sihat, berniaga ini memang cukup pandailah daripada saya, bila dia dah tak sihat ini saya pun macam lemah semangat jadinya, malas nak berniaga tetapi sudah tanggungjawab, terpaksa jugalah buat sikit-sikit,” katanya.

Di sebalik wajah tenang dan tidak lekang senyuman, Yauddin ketika ditemui di kediamannya di Meru akui pernah bergelut dengan perasaan apabila mengenangkan nasib isteri dan anak.
“Kadang-kadang jadi ‘anxiety’ (keresahan melampau) jadi kita asyik persoal ‘kenapa bini aku kurus sangat? Kenapa dia terlantar? Anak aku apa masa depannya’. Bila kena begitu saya memang jadi menggigil hanya ingat tuhan sahaja,” luahnya.
Meskipun menerima bantuan zakat RM400 sebulan, Yauddin berkata keadaan kewangan tidak menentu kerana dia yang menghidap penyakit buah pinggang, darah tinggi dan kencing manis adakala tidak sihat.
Pendapatannya pula hasil perniagaan hanya RM1,000 sebulan.
“Zakat ada juga bagi bantuan susu dan lampin. Kos rawatan tidak begitu banyak sebab kami pergi hospital kerajaan, cuma berniaga tak tentu. Ada masa bil elektrik, air dan yuran selenggara rumah kadang tak cukup nak bayar,” katanya lebih selesa mencari rezeki sendiri daripada terlalu mengharap bantuan.

Kisah Yauddin meraih perhatian warganet selepas videonya berniaga sambil menjaga isteri lumpuh tular di TikTok, namun dia tidak menyangka mendapat perhatian pelbagai pihak, menegaskan selagi mampu, dia ingin mencari rezeki sendiri tanpa mengharap simpati.
Berkorban tak sambung belajar
Sementara itu, Siti Nur Aliah, 21, anak tunggal pasangan tersebut mengakui kehidupannya amat berbeza daripada remaja lain seusia.
Selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Aliah mengambil keputusan tidak menyambung pengajian demi menjaga ibu dan membantu bapanya menguruskan perniagaan di pasar malam.

“Ada dapat tawaran belajar dulu tapi ayah pesan jangan tinggalkan. Ayah pun tak sihat jadi kalau saya tiada susah juga ayah kena jaga mak seorang diri,” katanya.
Dalam usia muda, Alia mengambil tanggungjawab membantu menampung perbelanjaan keluarga dengan membuat kerja sambilan di kedai makan jika tidak berniaga di pasar malam.
“Duit gaji kerja sambilan saya akan guna untuk bantu ayah tampung keperluan, selebihnya untuk kegunaan sendiri,” katanya yang memasang impian mendapatkan rumah tingkat bawah bagi memudahkan ibu bapanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun CIMB 7000412397 atas nama Ah Yauddin Ahmad.