PRN Johor: Muhyiddin mahu perkasa jentera PN, tamat dominasi kerajaan BN, kata pemimpin Bersatu

PRN Johor: Muhyiddin mahu perkasa jentera PN, tamat dominasi kerajaan BN, kata pemimpin Bersatu

Keputusan tidak mempertahankan DUN Gambir memudahkan kerja Muhyiddin Yassin merancang strategi dan memberi kemenangan kepada calon PN.

Muhyiddin Yassin berpendirian dominasi kerajaan BN mesti ditamatkan dan Umno yang menjadi teras gabungan itu tidak lagi mampu bangkit selama-lamanya selepas pilihan raya umum ke-15 akan datang.
PETALING JAYA:
Keputusan Muhyiddin Yassin tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir kerana mahu memberi tumpuan sepenuhnya terhadap jentera Perikatan Nasional (PN) sekali gus menamatkan dominasi kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri, berkata tanpa terikat sebagai calon, bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi PN itu boleh memberi fokus sepenuhnya tugas pengurusan dan operasi jentera PN di seluruh Johor.

Beliau berkata, Muhyiddin berpendirian, dominasi kerajaan BN mesti ditamatkan dan Umno yang menjadi teras gabungan itu tidak lagi mampu bangkit selama-lamanya selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15) akan datang.

“Keputusan beliau (tidak bertanding) juga tidak menjejaskan prestasi atau memberi kesan negatif, sebaliknya mampu menggandakan pengukuhan dan kekuatan jentera parti bagi menewaskan BN pada PRN kali ini.

“Justeru, Muhyiddin mempunyai lebih banyak masa untuk fokus kepada perancangan strategi dan tindakan untuk memperkukuhkan peluang calon PN memenangi di Johor,” katanya dalam kenyataan.

Solihan berkata, Muhyiddin juga mampu memberi kemenangan kepada calon PN kerana beliau berpengalaman dalam menguruskan pilihan raya kecil (PRK), PRN dan PRU.

“Jadi inilah kesan positif tindakan beliau kepada Bersatu Johor dan akhirnya meraih kemenangan pada PRN Johor dan seterusnya pada PRU15,” katanya.

Mengenai DUN Gambir, Solihan yang juga Ketua Bahagian Bersatu Ledang berkata, Muhyiddin telah meminta kepemimpinan Bahagian Bersatu Ledang menyerahkan senarai berkelayakan kerana DUN itu terletak dalam bahagian ini.

“Saya telah mengenal pasti calon yang sesuai untuk menggantikan beliau di DUN Gambir, kerana calon ini mempunyai kelayakan selain mendapat sokongan dan diterima akar umbi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.