
Timbalan Ketua Polis Melaka Razali Abu Samah berkata, laporan membabitkan kejadian di Dewan Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Tanjung Bidara di sini serta Kompleks Komuniti Desa (KKD) Telok Mas di Melaka Tengah.
“Terdapat antara 20 hingga 25 penyokong yang berkumpul kira-kira 100m dari pusat-pusat penamaan calon berkenaan namun disuraikan anggota polis yang bertugas.
“Arahan penyelarasan tugas telah dikeluarkan bahawa laporan polis hendaklah dibuat kepada mana-mana pihak yang membawa penyokong di pusat penamaan calon,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa meninjau proses penamaan calon di Dewan Kompleks Japerun Tanjung Bidara di sini.
Dewan Kompleks Japerun Tanjung Bidara menjadi lokasi pencalonan bagi kerusi yang dianggap “panas” Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, membabitkan Ab Rauf Yusoh daripada Barisan Nasional (BN), Mas Ermieyati Samsudin daripada Perikatan Nasional (PN) dan Zainal Hassan daripada Pakatan Harapan (PH).
Sementara Kompleks Komuniti Desa Telok Mas di Melaka Tengah, merupakan lokasi berlangsungnya pencalonan bagi kerusi DUN Telok Mas (N23) membabitkan pertandingan empat penjuru iaitu Mohd Rafiq Naizamohideen daripada PN, Muhammad Ariff Adly Mohammad (Bebas), Ashraf Mukhlis Minghat (PH) dan Abdul Razak Abdul Rahman (BN).
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari ini sebagai hari penamaan calon manakala tarikh mengundi bagi PRN Melaka pada 20 Nov dan undi awal pada 16 Nov, ekoran pembubaran DUN pada 4 Okt lepas, susulan empat Ahli DUN menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.
Melaka yang mempunyai 28 kawasan DUN, memiliki seramai 495,196 pengundi berdaftar dengan 240,530 atau 48.57% pengundi adalah lelaki dan baki 254,666 atau 51.43%, wanita.