
Keputusan mahkamah petang ini dibuat selepas peguam M Ravi yang mewakili Nagaenthran K Dharmalingam memaklumkan penangguhan pelaksanaan hukuman telah dibenarkan sementara menunggu rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu diselesaikan.
Nagaenthran yang didapati bersalah mengedar dadah pada 2011, dijadualkan dihukum mati pada Rabu. Peguamnya memfailkan permohonan penangguhan hari ini atas alasan Nagaenthran mempunyai usia mental bersamaan individu di bawah 18 tahun.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi ketika menolak permohonan itu berkata, walaupun Nagaenthran mempunyai IQ 69, tiada “asas yang boleh dipercayai” menunjukkan usia mentalnya bersamaan orang bawah usia 18 tahun.
Katanya, tiada asas perundangan yang dapat menyokong hujah bahawa undang-undang antarabangsa mengatasi undang-undang Singapura.
Ravi berhujah, hukuman mati Nagaenthran tidak patut dilaksanakan sehingga pemeriksaan lanjut dan laporan mengenai keadaan mentalnya diperoleh.
Kumpulan hak asasi manusia Malaysia Lawyers for Liberty (LFL) menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kuala Lumpur menggesa hukuman itu tidak dilaksanakan. Penyelaras LFL Zaid Malek berkata, perjuangannya belum selesai dan kumpulan itu masih menuntut hukuman terhadap Nagaenthran dikurangkan kepada penjara seumur hidup.
Peguam Nagaenthran di Malaysia, N Surendran berkata, Mahkamah Rayuan republik itu akan mendengar rayuannya terhadap hukuman mati esok, selain permohonan penilaian psikiatrik pada petangnya.