MB Kedah diarah bayar ganti rugi RM50,000 kepada Mahfuz

MB Kedah diarah bayar ganti rugi RM50,000 kepada Mahfuz

Mahkamah memerintahkan Muhammad Sanusi Md Nor membayar ganti rugi dalam tempoh 14 hari mulai hari ini.

Pada 9 Okt 2019, Mahfuz Omar memfailkan saman berdasarkan hantaran yang dibuat Muhammad Sanusi Md Nor dalam akaun Facebooknya pada 30 Julai 2019 yang mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat Pokok Sena dalam isu pemindahan premis Sport Toto ke kawasan itu.
KUALA LUMPUR:
Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor membayar ganti rugi RM50,000 kepada Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar berhubung kenyataan fitnah melalui hantaran Facebook dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Arief Emran Arifin membuat perintah itu selepas membenarkan saman fitnah yang dikemukakan oleh Mahfuz selaku plaintif terhadap Sanusi sebagai defendan.

Peguam Noorazmir Zakaria yang mewakili Mahfuz berkata, mahkamah memerintahkan Sanusi membayar ganti rugi tersebut dalam tempoh 14 hari mulai hari ini.

“Mahkamah juga memerintahkan defendan (Sanusi) menulis permohonan maaf kepada plaintif di laman Facebook milik defendan dalam tempoh 14 hari dan memerintahkan defendan membayar kos guaman kepada plaintif berjumlah RM15,000.

“Perintah-perintah lain yang dikenakan ialah satu injunksi menegah defendan atau ejen-ejennya daripada menerbitkan kata-kata fitnah terhadap plaintif pada masa hadapan,” katanya ketika dihubungi pemberita melalui aplikasi WhatsApp selepas keputusan kes saman itu yang berlangsung secara dalam talian, hari ini.

Prosiding itu turut disertai peguam Yusfarizal Yussoff dan Mohd Faizi Che Abu yang mewakili Sanusi.

Perbicaraan kes berlangsung pada 26 Ogos lalu dengan dua saksi plaintif termasuk Mahfuz dan seorang saksi defendan, iaitu Sanusi memberi keterangan.

Pada 9 Okt 2019, Mahfuz memfailkan saman itu berdasarkan hantaran yang dibuat oleh Sanusi dalam akaun Facebooknya pada 30 Julai 2019 yang mengaitkan Mahfuz selaku wakil rakyat bagi kawasan Pokok Sena dalam isu pemindahan premis Sport Toto ke kawasan itu.

Mahfuz juga mendakwa Sanusi menerbitkan satu video berdurasi 7 minit 57 saat di akaun Facebooknya pada 27 Julai 2019 yang memaparkan sekumpulan individu membantah pembukaan Sport Toto di Pokok Sena sambil memegang sepanduk yang tertera nama plaintif.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.