
Sebaliknya beliau menyerahkan sepenuhnya kepada rakyat di kawasan itu untuk memilih calon paling layak menjadi wakil mereka.
Katanya, pertembungan itu adalah satu titik tolak untuk melihat bagaimana pengundi di Masjid Tanah menilai seorang calon yang pernah diberi mandat sebelum ini dan mewakili BN namun beralih arah dan kembali menemuinya pada PRN kali ini.
“Saya mengalu-alukan pertandingan yang sihat dan menganggap pertembungan melibatkan perjuangan antara parti.
“Walaupun saya umpama sifu dan anak buah (merujuk kepada calon PN Mas Ermieyati Samsudin), parti dilihat yang lebih berprinsip akan dipilih oleh rakyat. Saya tidak kisah siapa bertanding dan tidak melihat ini cabaran besar bagi saya,” katanya pada sidang media selepas penamaan calon.
Rauf berdepan saingan tiga penjuru melibatkan calon PN yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati dan Zainal Hassan daripada PH.
Dalam pada itu, Rauf berkata, manifesto peringkat DUN Tanjung Bidara akan diumum pada 10 Nov.
Katanya, beliau akan cuba sebaik mungkin memperbaiki kaedah menarik pelancong ke sepanjang koridor Pengkalan Balak, Padang Kemunting dan Tanjung Bidara.
Beliau berkata, ini kerana terdapat lebih 25 pengusaha chalet kecil di situ dan beliau akan berusaha meminta Telekom Malaysia menyediakan liputan internet yang laju supaya mampu menarik lebih ramai pelancong berhujung minggu di kawasan berkenaan tanpa halangan.
Mengenai kempen yang bermula hari ini, beliau memaklumkan masih menunggu SOP muktamad daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Selepas penamaan calon, saya ada berjumpa dengan pegawai SPR dan saya melihat ada dua perkara berbeza antara SOP dikeluarkan MKN dan taklimat diberikan oleh jentera parti.
“Saya ada bertanyakan sama ada SPR ada garis panduan untuk kita memulakan gerak kerja kempen hari ini tapi malangnya SPR tidak dapat beri dan hanya menunggu MKN.
Katanya, memandangkan Melaka sudah memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan sebahagian besar rakyat telah menerima suntikan dos kedua, beliau berharap SPR mengkaji semula SOP yang diberikan supaya memberi keadilan kepada parti bertanding.