
BN diwakili Ab Rauf Yusof, PN pula menyenaraikan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin manakala Zainal Hassan mewakili PH.
Rauf tiba pada jam 8.45 pagi diiringi bekas Perdana Menteri Najib Razak diikuti Mas Ermieyati lima minit kemudian yang serentak bersama Zainal di Dewan Datuk Kapten (B) Hj Ab Karim.
Ketiga-tiga calon itu kemudian dilihat memasuki pusat penamaan calon sambil ditemani penyokong dan pencadang masing-masing.
Pegawai pengurus pilihan raya mengumumkan senarai calon yang bertanding selepas proses penamaan calon ditutup pada 10 pagi tadi.
“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima kertas penamaan daripada tiga orang calon untuk bertanding DUN N02 Tanjung Bidara.
“Kita menyemak kertas-kertas penamaan berkenaan dan setelah selesai disemak, saya berpuas hati dan memutuskan tiada calon yang ditolak pencalonan,” katanya.
DUN Tanjung Bidara antara menjadi tumpuan kerana melibatkan dua calon nama besar iaitu Rauf selaku Ketua Umno Melaka dan Mas Ermieyati.
Kerusi Tanjung Bidara dimenangi Umno pada pilihan raya umum (PRU) menerusi Md Rawi Mahmud dengan majoriti 2,864 undi selepas menewaskan calon PH dan PAS.
Md Rawi kemudian digugurkan dan BN kali ini menampilkan muka baharu untuk mempertahankan DUN itu.