
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Bukit Aman, Abd Jalil Hassan berkata, pasukan Cantas Khas yang dianggotai oleh 235 pegawai akan menjalankan rondaan setiap masa di kawasan-kawasan panas seluruh negeri Melaka.
“Kita (polis) akan sentiasa bersiap sedia dengan Pasukan Cantas Khas untuk cantas awal-awal jika terdapat elemen-elemen gengsterisme diketengahkan dalam pilihan raya.
“Nasihat pihak polis agar parti-parti politik yang bertanding dalam PRN Melaka ini mematuhi undang-undang serta peraturan-peraturan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Op PRN DUN Melaka 2021 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka (IPK), Bukit Beruang hari ini.
Sementara itu, enam pasukan pemantau bersepadu terdiri daripada empat agensi pihak berkuasa akan ditempatkan di semua pusat penamaan calon (PPC) Pilihan Raya Negeri (PRN) esok bagi mengekang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP).
Ketua Polis Melaka Wira Abdul Majid Mohd Ali berkata, pendekatan baharu itu diwujudkan bagi memantau aktiviti berkaitan pelanggaran SOP mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
Menurutnya, setiap pasukan terdiri daripada sekurang-kurangnya empat wakil daripada polis, Kementerian Kesihatan (KKM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“Setiap kawasan Parlimen akan ditempatkan dua pasukan ini yang akan mengambil tindakan tindakan ‘on the spot’ (segera) di lokasi terhadap mana-mana kumpulan atau individu yang didapati melanggar Akta 342,” katanya.