Melaka sudah kembali sibuk, namun perniagaan masih lesu

Melaka sudah kembali sibuk, namun perniagaan masih lesu

Pengusaha perniagaan kecil-kecilan di negeri bersejarah itu tidak melihat sebarang bayang pemulihan ekonomi, walaupun pelancong sudah mula kembali.

Setelah 26 tahun mengusahakan Restoran Indah Sayang, Peter dan isterinya kini berfikir untuk menjual perniagaan mereka.
MELAKA:
Pinggan mangkuk dan kutleri tersusun rapi di sebuah restoran Nyonya di bandar ini yang bersedia menerima pelanggan menikmati makan tengah hari, namun suasana kali ini berbeza apabila kerusi dilihat kosong.

Hanya sepasang warga emas, yang juga pengusaha restoran itu, dilihat sibuk membersihkan premis mereka.

Restoran Indah Sayang, pada satu ketika dahulu sebelum wabak Covid-19 melanda, tidak putus dengan kehadiran pelanggan dari tengah hari hingga malam, kata lelaki berusia 71 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Peter.

Kini, tiada lagi pelanggan pada waktu makan tengah hari, dan untuk makan malam juga, pelanggan seolah-olah menjauhkan diri, walaupun tiada lagi sekatan dan aktiviti makan dalam premis dibenarkan bagi individu yang lengkap vaksinasi.

Tinjauan FMT baru-baru ini mendapati para pelancong kembali berkunjung ke tempat-tempat yang menjadi tarikan sekitar Melaka. (Gambar Muhaimin Marwan)

Pelanggan yang masih datang selalunya membawa pulang makanan.

“Saya tak tahu ke mana pelanggan-pelanggan saya (yang lain) pergi,” kata Peter.

Pasangan pengusaha restoran itu juga kini menutup kedai pada 7 malam, tidak seperti sebelum ini di mana operasinya berjalan hingga lewat malam.

Kebenaran perjalanan merentas negeri yang ditunggu-tunggu tidak membantu, dengan hanya sedikit peningkatan dalam bilangan pelanggan pada hujung minggu.

Setelah mengusahakan perniagaan ini selama 26 tahun, Peter dan isterinya, yang bertugas memasak, kini berfikir untuk menjualnya.

“Jika ada yang berminat, saya akan jual (perniagaan ini). Tetapi pembelinya mestilah seorang yang bersemangat. Jika mereka ambil alih perniagaan dan tidak menjalankannya dengan baik, apa gunanya? Lebih baik saya tutup sahaja (perniagaan ini).”

Pengusaha Restoran Indah Sayang adalah antara ratusan, jika bukan ribuan, pengusaha perniagaan kecil-kecilan di Melaka yang berdepan masalah ini. Seperti Peter, mereka juga tidak melihat sebarang bayang pemulihan ekonomi, walaupun pelancong sudah mula kembali ke negeri bersejarah itu.

Pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan turut tidak membantu.

Di luar Gereja Christ Melaka, penunggang beca berusia 57 tahun yang dikenali sebagai Ah Chai memberitahu FMT, beliau hanya dapat penumpang “cukup-cukup makan”. Menjelang waktu petang, beliau hanya dapat meraih RM55 melalui becanya yang bertema Doraemon.

Ah Chai di atas beca bertema Doraemon yang ditunggangnya. (Gambar Muhaimin Marwan)

Namun, katanya, kehidupan semasa “lockdown” lebih sukar, di mana beliau terpaksa mengumpul kotak kadbod terbuang dan tin-tin kosong untuk dikitar semula, hanya bagi mendapatkan sedikit wang untuk menampung kehidupannya bersama isteri.

Ada waktunya, mereka juga terpaksa bergantung kepada pakej bantuan makanan.

Keadaan sedikit baik pada hujung minggu, dengan pembukaan semula Jonker Walk sangat membantu bagi Ah Chai.

Ah Chai berkata, ketika ‘lockdown’ sebelum ini, beliau terpaksa meminjam wang daripada rakan-rakannya. (Gambar Muhaimin Marwan)

Selama 38 tahun membawa beca berwarna warni di negeri itu, beliau tidak melihat cara lain untuk meraih pendapatan. Beliau akan kekal membawa beca selagi mampu, katanya.

Bagi pelukis karikatur Shahril Anuar, yang telah berniaga di tepi Sungai Melaka berdekatan Bangunan Stadthuys selama 10 tahun, keadaan kini bertambah baik.

Bagi pelukis karikatur Shahril Anuar, yang telah berniaga di tepi Sungai Melaka berdekatan Bangunan Stadthuys selama 10 tahun, keadaan bertambah baik. (Gambar Muhaimin Marwan)

Beliau dapat meraih sehingga RM400 pada hari yang baik, dan hampir dua kali ganda pada hujung minggu.

“Lockdown” juga memberi peluang kepada lelaki berusia 42 tahun itu untuk berjinak-jinak membuka gerai menjual nasi minyak. Kini, beliau menjalankan perniagaan dengan bantuan beberapa rakannya.

“Seolah-olah Covid-19 ini memberi ilham kepada kami untuk memulakan satu lagi perniagaan, berbanding hanya bergantung kepada satu,” katanya.

Shahril mungkin tidak khuatir tentang PRN, memandangkan beliau dapat bergantung kepada perniagaannya menjual makanan jika sekatan dilaksanakan, namun Peter dan Ah Chai berharap agar ia tidak akan mengakibatkan lagi lonjakan kes Covid-19, atau lebih buruk, “lockdown” sekali lagi.

Ah Chai berkata, sukar untuk menghadapi satu lagi perintah kawalan pergerakan (PKP), sambil menambah, pada “lockdown” lepas, beliau terpaksa meminjam wang daripada rakan-rakannya.

“Jika mereka umumkan PKP lagi, susah untuk memperoleh pendapatan. Jika beca saya rosak, saya tiada wang untuk membaikinya. Jika motosikal saya rosak, lagi teruk,” katanya.

Nur gembira dapat kembali keluar berjalan-jalan dengan keluarganya setelah sekatan ditamatkan. (Gambar Muhaimin Marwan)

Nur, seorang pelancong dari Cheras, juga berharap “lockdown” dapat dielakkan menerusi prosedur operasi standard (SOP) ketat semasa PRN, memandangkan kerajaan baru sahaja membenarkan perjalanan rentas negeri dan pelancongan domestik.

“Kita tidak mahu apa yang berlaku di Sabah berulang. PRN (di sana) akhirnya mencetuskan ‘lockdown’ di seluruh negara,” katanya yang gembira akhirnya dapat kembali keluar berjalan-jalan bersama keluarganya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.