Bertanding atau tidak di Sarawak; perwakilan minta pimpinan PAS buat ketetapan

Bertanding atau tidak di Sarawak; perwakilan minta pimpinan PAS buat ketetapan

Jentera parti itu di peringkat negeri juga bersedia untuk dikerahkan bagi memastikan hasrat melihat ADUN “sulung” dari PAS lahir di Sarawak.

PAS telah bertapak di Sarawak lebih 20 tahun dan tidak pernah ketinggalan meletakkan calon untuk setiap pilihan raya sejak 1999, kata wakil PAS Sarawak Abdul Halim Abdul Kadir.
KUALA TERENGGANU:
Wakil PAS Sarawak meminta pucuk pimpinan parti itu membuat ketetapan segera sama ada akan bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-12.

Wakilnya, Abdul Halim Abdul Kadir berkata, jentera parti itu di peringkat negeri juga bersedia untuk dikerahkan bagi memastikan hasrat melihat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) “sulung” dari PAS lahir di Sarawak.

“Kami amat harapkan agar mendapat lampu hijau daripada pemimpin pusat adakah dibenar bertanding atau sebaliknya. Jika ditanya apa kami buat untuk bertanding, saya nyatakan di sini di DUN (Dewan Undangan Negeri) Beting Maro sudah ada 30 cawangan aktif yang bergerak sejak 2019 khusus untuk PRN akan datang.

“Bukan kami tak sabar tapi ini semangat baharu PAS Sarawak demi memastikan Adun pertama PAS di DUN Sarawak dalam PRN kelak,” katanya ketika ucapan dasar Presiden Muktamar Tahunan PAS ke-67 hari ini.

Katanya, PAS telah bertapak di Sarawak lebih 20 tahun dan tidak pernah ketinggalan meletakkan calon ketika setiap pilihan raya sejak 1999.

Sebelum ini, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mengenai pembatalan Proklamasi Darurat bagi Sarawak, yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lepas.

Pembatalan Proklamasi Darurat itu secara tidak langsung akan memberi laluan kepada PRN12 diadakan di Sarawak, setelah tempoh mandat kerajaan negeri itu tamat pada 6 Jun lalu.

Sementara itu beliau turut menggesa kepemimpinan parti menyediakan menambah dana untuk membolehkan anggota akar umbi di Sarawak melakukan kerja dakwah.

Menurutnya, ramai orang di Sarawak sedia menerima Islam dan dipimpin parti berasaskan agama seperti PAS.

Beliau bagaimanapun berkata kekurangan dari segi dana dan kehadiran pemimpin parti mungkin menyebabkan PAS dilabel sebagai parti Semenanjung oleh penduduk tempatan.

“Sarawak Darul Hana adalah sebesar Semenanjung. Kita memang perlukan lebih banyak dana untuk memperkukuh kedudukan PAS di negeri ini, bagi memastikan aktiviti dakwah dapat diteruskan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.