PAS Sarawak: Jangan dwistandard hanya tahan ahli kami kritik DAP

PAS Sarawak: Jangan dwistandard hanya tahan ahli kami kritik DAP

Ia susulan kes seorang ahli PAS menerusi catatan Facebook berharap 4 ahli Parlimen DAP akan 'binasa' kerana gagal menganjurkan kempen “kembali ke sekolah” di kawasan Parlimen mereka.

Jofri Jaraiee berkata, seorang ahli DAP di Sabah membuat kenyataan menghina Abdul Hadi Awang dalam satu klip video, tetapi tidak dikenakan tindakan walaupun beberapa laporan polis sudah dibuat. (Gambar Youtube)
PETALING JAYA:
PAS Sarawak meminta polis tidak bersikap dwistandard terhadap individu membuat kenyataan berniat jahat atau memfitnah ahli politik tanpa mengira fahaman politik mereka, selepas seorang ahlinya di Sibu direman berhubung kritikan terhadap beberapa wakil rakyat DAP di Facebook.

Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee memberi contoh seorang ahli DAP di Sabah yang membuat kenyataan menghina Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu klip video, tetapi tiada tindakan diambil terhadap individu itu selepas beberapa laporan polis dibuat.

Jofri berkata demikian susulan kes seorang ahli PAS yang dilaporkan positif dadah selepas ditahan polis, menerusi catatan Facebook berharap 4 ahli Parlimen DAP akan “binasa” kerana gagal menganjurkan kempen “kembali ke sekolah” di kawasan Parlimen mereka.

Katanya, ahli PAS itu sekadar meminta wakil rakyat DAP lebih bertanggungjawab dan turun padang menjalankan tugas mereka.

“PAS Sarawak meminta kes ini ditangani dengan adil, telus dan tanpa mengira fahaman politik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“PAS Sarawak juga ingin menegaskan tindakan sama juga perlu diambil terhadap mana-mana individu yang membuat kenyataan fitnah atau berniat jahat kepada mana-mana ahli politik dari semua peringkat tanpa mengira parti kerajaan atau pembangkang.

“PAS Sarawak ingin menekankan bahawa undang-undang di negara ini harus dihormati dan dilaksanakan dengan adil tanpa mengira latar belakang politik mana-mana pihak.”

Ahli PAS berusia 40 tahun itu ditahan Khamis lalu, susulan laporan polis dibuat pembantu Ahli Parlimen Lanang, Alice Lau.

Sementara itu, Jofri menafikan laporan media yang ahli PAS ditahan itu ialah pengurus pusat tahfiz atau pemimpin PAS Sarawak.

Katanya, individu itu hanya membantu pihak pengurusan pusat tahfiz terbabit dan merupakan ahli biasa yang tidak mempunyai jawatan dalam mana-mana peringkat PAS Sarawak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.