
Pada 23 November lalu, Tan Sri Adenan Satem yang juga ketua menteri Sarawak ketika itu, mengarahkan semua ahli Parlimen BN negeri itu, termasuk yang beragama Islam menolak RUU 355.
RUU 355 mungkin akan mendapat sokongan wakil rakyat Sarawak di bawah pimpinan ketua menteri baharu kerana Pesuruhjaya PAS negeri, Jofri Jaraiee menyifatkan Abang Johari lebih terbuka dan cenderung kepada Islam.
“Yang baharu (Abang Johari) ini agak terbuka sedikit. Kita mungkin akan buat perjumpaan dengan beliau sambil kita beritahu (mengenai RUU 355) supaya dapat sokongan dari mereka.
“Sebab dia lebih cenderung kepada Islam juga. Mungkin dia bagi kebebasan, tidak mengikat mana-mana ahli Parlimen (BN Sarawak) untuk mengundi (sokong RUU 355),” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.
Pada 24 November lalu, presiden PAS meminta Dewan Rakyat menangguhkan perbahasan usul RUU persendirian yang dibawakannya ke sidang berikut pada Mac ini.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penangguhan itu bertujuan membolehkan pindaan dilakukan terhadap RUU 355.
Antara pindaan dicadangkan ialah hukuman “penjara tidak melebihi 30 tahun atau denda tidak lebih RM100,000 atau 100 sebatan” berbanding maksimum 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan 6 kali sebatan yang boleh dijatuhkan Mahkamah Syariah ketika ini.
Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Dr Sim Kui Hian dilaporkan berkata, parti komponen BN Sarawak tidak akan menyokong RUU 355 kerana menganggap ia tidak seiring intipati Perjanjian Malaysia 1963.