
Pesuruhjaya PAS Sarawak, Jofri Jaraiee, berkata proklamasi itu tidak terpakai kerana “tidak bersesuaian” dilaksanakan di negeri itu.
“Tiada masalah di peringkat negeri kerana kenyataan (sokongan) presiden PAS (Abdul Hadi Awang) itu cuma diguna pakai di Semenanjung.
“Di Sarawak kita terbuka, kita bukan menentang tetapi sesuai dengan keadaan di negeri ini,” katanya menurut Utusan Malaysia.
Terdahulu, Hadi bersama beberapa pemimpin parti itu mengadakan pertemuan bersama bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad menyatakan sokongan serta menandatangani Proklamasi Orang Melayu.
Jofri ketika mengulas lanjut berkata, Proklamasi Orang Melayu di Semenanjung bertujuan menyatukan orang Melayu.
“Berkenaan dengan Proklamasi Orang Melayu, sekarang negara kita nampak banyak parti politik, jadi banyak perpecahan. Kita perlu menyatukan orang Melayu supaya kita kembali hidup dengan aman,” katanya.
Katanya, berbeza di Sarawak, rakyat di negeri itu boleh hidup aman bersama kaum dan agama lain.
“Ia berbeza di Sarawak, kerana kita semua boleh hidup aman dengan pelbagai kaum dan agama, Sarawak sangat bersatu, dan tidak memerlukan proklamasi itu,” katanya.