Wujud dasar toleransi sifar mengenai buli, universiti diberitahu

Wujud dasar toleransi sifar mengenai buli, universiti diberitahu

Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim berkata dasar ini boleh disokong oleh kempen anti-buli.

Universiti dan sekolah harus lebih serius dalam menangani buli, menurut pakar. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Pihak universiti perlu mewujudkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk buli sama ada fizikal, lisan, siber, seksual atau sosial, kata Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE).

Pengerusinya Noor Azimah Abdul Rahim, berkata dasar ini boleh disokong oleh kempen anti-buli.

Gesaan itu dibuat susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap enam penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana menyebabkan kematian Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, empat tahun lalu.

Mahkamah yang menjatuhkan hukuman itu Selasa lalu mendapati 90 kesan melecur yang dialami Zulfarhan akibat ditekap seterika panas, telah menyebabkan kematiannya.

Noor Azimah berkata keluarga Zulfarhan harus menyaman universiti terbabit atas kecuaian dan tindakan juga boleh diambil terhadap warden sekiranya mereka didapati gagal menjalankan tugas dalam memastikan keselamatan di asrama.

“Barulah kita akan mendapat pengajaran,” katanya kepada FMT.

Mengenai hukuman terhadap mereka yang didapati melakukan kesalahan buli, Noor Azimah berkata pelaku harus dikenakan tindakan buang dan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pemulihan.

Beliau juga menggalakkan mangsa untuk mendapatkan bantuan sama ada daripada kesatuan pelajar atau tutor, serta mengadukan perkara itu kepada pihak universiti.

“Ibu bapa juga perlu bersikap terbuka dan bukannya memandang sebelah mata. Mereka telah pun melalui kesukaran untuk berkongsi dan mendedahkan perkara yang menyakitkan serta memalukan.

“Ibu bapa harus menyokong dan meningkatkan keyakinan mereka. Simpan maklumat kejadian itu dan galakkan anak mereka untuk melaporkan perkara itu kepada pihak pentadbiran. Ibu bapa juga boleh menemani mereka jika perlu,” katanya.

Manakala Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) Wang Heng Suan, berkata penekanan harus diberikan terhadap langkah pencegahan berbanding hukuman.

“Strategi untuk mendidik pelajar membentuk kesedaran terhadap kesan tindakan buli harus menjadi keutamaan. Kaunseling juga harus diberikan kepada pelaku,” katanya kepada FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.