
Dalam kenyataan, Bersih 2.0 berkata, langkah itu hanya dapat dilaksanakan dengan mengkategorikan sebagai pengundi tidak hadir dan membenarkan undi awal di pusat pengundian berpusat, sekurang-kurangnya satu di setiap negeri di Semenanjung.
“Kami juga menggesa Menteri Kesihatan untuk bekerjasama dengan SPR bagi membantu pengundian dan kempen secara selamat, berbanding mengambil langkah ‘draconian’ melarang semua aktiviti pilihan raya secara fizikal, sebagaimana yang berlaku di Melaka,” kata kenyataan itu.
Menurutnya, SPR perlu proaktif memberikan jalan alternatif selamat untuk kempen pilihan raya kepada semua calon dan parti politik, termasuk memberi ruang sama rata berkempen menggunakan media rasmi kerajaan.
“Hal ini sangat mustahak terutamanya di kawasan pedalaman Sarawak di mana radio dan televisyen adalah sumber utama maklumat kepada rakyat,” katanya.
Gabungan itu juga kecewa dengan pembatalan Proklamasi Darurat Sarawak, semalam, yang membuka laluan kepada PRN12 Sarawak, yang perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah berkenan mengenai pembatalan Proklamasi Darurat bagi Sarawak, yang berkuat kuasa sejak 2 Ogos lalu.
Pembatalan Proklamasi Darurat itu secara tidak langsung akan memberi laluan kepada PRN12 Sarawak diadakan setelah tempoh mandat kerajaan negeri Sarawak, tamat pada 6 Jun lalu.