
Beliau memberi amaran, 4 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melaka yang menjatuhkan kerajaan negeri sebelum ini tidak akan bermasalah berbuat demikian sekali lagi, jika diberikan peluang.
Syed Saddiq kesal kerana PH “lebih nampak nilai yang ada pada katak politik yang tidak ada prinsip,” dan bukannya mengukuhkan kerjasama dengan “rakan dan sahabat seperjuangan termasuk saya sendiri.”
Beliau mendesak PH yang diketuai oleh Anwar Ibrahim untuk menolak empat ADUN Melaka itu setelah mereka menjatuhkan kerajaan negeri Melaka.
Mereka menarik balik sokongan terhadap Ketua Menteri Sulaiman Md Ali, sekali gus mencetuskan PRN pada 20 Nov ini.
Mereka ialah, Idris Haron (Umno-Sungai Udang), Nor Azman Hassan (Umno-Pantai Kundor), Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) dan Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu).
Idris, Nor Azman dan Noor Effandi dilaporkan menunggu isyarat Anwar untuk menyertai salah satu parti komponen PH. Norhizam pula dilaporkan akan bertanding sebagai calon bebas mesra PH.
Syed Saddiq mempersoalkan peranan mereka, khususnya Idris dalam menjatuhkan kerajaan negeri sebelum ini.
“Idris Haron melompat dari Umno ke PH hanya kerana mahu dicalonkan sebagai calon Ketua Menteri Melaka. Dia tidak secara tiba-tiba percaya bahawa Umno adalah ancaman kepada rakyat Melaka, ataupun dia melompat kerana sudah lama menjadi pengkritik Umno – yang mana jelas dia bukan.
“Kita sudah boleh lihat hati dan niatnya dari awal lagi. Ia bukanlah untuk Melaka, atau rakyat dan semestinya bukan untuk PH,” kata Syed Saddiq.
Syed Saddiq berkata PH tidak seharusnya bekerjasama dengan pengkhianat dan “menyertai sekumpulan perompak.”
“Saat mereka mengkhianati mandat rakyat, dan memilih kuasa berbanding rakyat, mereka akan buat lagi dan lagi. Jangan sesekali meletakkan kita dalam bilik yang sama (dengan) pengkhianat,” kata beliau.
Syed Saddiq berkata jika pembangkang bersekongkol dengan empat ADUN berkenaan, ia “akan menjadi kumpulan yang tidak berprinsip seperti pihak lawan kita.”
“Bagaimana untuk kita angkat dan bawa Rang Undang-Undang Antilompat Parti apabila kita sendiri bergelumang dalam kesalahan yang sama?
“Bagaimana kita ingin menghukum mereka yang mencetuskan Langkah Sheraton sedangkan kita juga menyokong tindakan yang serupa?” ujar beliau.
“Mereka (empat ADUN itu) tidak ada masalah untuk menumbangkan Kerajaan Negeri Melaka dua kali dan mereka sudah tentu gembira sahaja untuk menumbangkan untuk kali ketiga.”