
Beliau meninggalkan semua itu dan kemahiran yang diasah selama berpuluh tahun untuk menjadi usahawan tani di Melaka.
Sebenarnya Yogeswaran, 37, memang berminat bercucuk tanam namun tidak pernah terlintas di fikirannya untuk menjadikannya mata pencarian. Lembaran baharu hidupnya tersingkap apabila beliau terjumpa satu kebun kacang panjang berdekatan rumahnya.
Ketika itu Yogeswaran sedang bercuti enam bulan sebelum terbang ke dapur baharu di China. Beliau berbual dengan pengusaha kebun itu, iaitu seorang warga Bangladesh yang mahu menjual tanah seluas dua ekar itu dan pulang ke kampung halamannya.
Yogeswaran segera merebut peluang untuk mengambil alih tanah itu dan dalam beberapa minggu sahaja, dia sudah mula menuai hasil pertama kebunnya – dengan pendapatan yang mencukupi untuk mendapat semula wang yang dibelanjakan untuk membeli tanah itu.

Ini membuka mata Yogeswaran, yang terlihat harapan dalam bidang pertanian. Beliau membatalkan hasrat untuk bekerja di China, lalu menjadi petani sepenuh masa.
“Sekarang saya ada 25 ekar tanah dan tanam banyak jenis tanaman seperti cili, timun, tembikai wangi, sayur sawi putih dan bayam,” katanya.
Katanya lagi, pertanian moden sama sekali berbeza daripada bertani seperti dahulu kala yang banyak menggunakan tulang empat kerat.
“Pertanian kini sudah berteknologi tinggi. Kita ada sistem fertigasi automatik yang membantu mengawal siraman dan penggunaan baja. Itu semua boleh dilakukan di rumah melalui telefon bimbit,” katanya.
Yogeswaran sama sekali tidak menyesal melepaskan kerjaya mengurus dapur restoran terkemuka kerana berbudi kepada tanah merupakan suatu perjalanan yang amat berbaloi baginya.
Prospek besar untuk belia
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) berharap lebih ramai belia akan mengikut langkah Yogeswaran dan menceburi sektor pertanian.

Timbalan Pengarah Abdul Rashid Bahri berkata, ia penting untuk keselamatan makanan negara dan mengurangkan kebergantungan pada import.
Katanya, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyediakan program Agropreneur Muda untuk menarik lebih ramai belia menjadi usahawan tani.
“Dalam program ini, kementerian akan bantu petani muda dengan menyediakan geran RM20,000, pinjaman sehingga RM200,000 pada kadar faedah 2% bagi mereka yang layak dan banyak lagi bantuan untuk memulakan perniagaan.
“FAMA juga menawarkan khidmat pemasaran langsung bagi mereka yang menyertai program Kontrak Pemasaran. Melalui khidmat ini, kami sediakan kemudahan logistik seperti pengangkutan dan penyimpanan serta peralatan pemasaran bagi membantu memacu jualan produk mereka,” katanya.
Beliau berharap ia akan menggalakkan generasi muda untuk lebih melibatkan diri dalam pertanian bagi mencapai matlamat keselamatan makanan negara.