
Perdana menteri berkata, arahan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan itu perlu dipatuhi semua pihak dalam sektor perkhidmatan awam.
“Makanlah buah tempatan, perbendaharaan dah bagi arahan ya, ‘no imported fruit’ ya.
“Jadi, kalau seluruh jabatan kerajaan (ikut arahan), maknanya peluang petani mengeluarkan bahan-bahan tempatan itu lebih banyak,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya.
Menurutnya, amalan itu menjadi kebiasaan beberapa negara jiran dilawatinya seperti Laos, Vietnam dan Thailand, di mana 100% makanan tempatan disediakan dalam acara rasmi kerajaan.
“Secara otomatis dia (negara itu) pastikan makanan tempatan. Sebab itu, kita bagi arahan seluruh jabatan kerajaan ini tidak ada bahan import. Nak makan ikan kod boleh, tapi sendiri-sendiri.
“Ini kadang-kadang saya tengok dulu di Seri Perdana, (hidang) ikan kod, ish saya kata tak payahlah…bagi ikan keli pun tak apa, sesetengah orang dengan ikan keli dia geli. Saya suka ikan keli,” selorohnya.
Ahad lalu, Anwar mempertahankan peluasan skop SST ke atas barangan import yang menyasarkan golongan berpendapatan tinggi.
Katanya, kerajaan memilih mengenakan cukai terhadap barangan lazim dinikmati golongan berada seperti avokado dan ikan kod berbanding membebankan rakyat berpendapatan rendah.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, hasil kutipan cukai seperti SST digunakan secara langsung untuk memperkukuh sistem sokongan rakyat melalui pelbagai inisiatif bantuan dan sektor utama.
“Jadi, sebab itu saya kata dalam memutuskan soal ini, kita kena lihat dari segi makronya…Kalau lihat belanjawan-belanjawan sebelum ini, ada yang baik, bukan saya nak nafikan, tetapi peningkatan begitu rupa untuk fokus kesihatan, pendidikan. Itu keutamaan.”