
Dalam perutusan sempena Hari Kebangsaan ke-68, Pengerusinya Mahfuz Omar menyifatkan peladang, penternak dan nelayan sebagai ‘wira tanpa senjata’ yang mempertahankan negara dengan memastikan rakyat cukup makan.

“Jika tentera menjaga sempadan, peladang menjaga dapur rakyat. Inilah barisan hadapan sebenar yang sering dilupakan tetapi sangat penting dalam kesinambungan sebuah negara merdeka,” katanya.
Beliau berkata pengorbanan golongan peladang di seluruh negara – dari sawah padi di Kedah, dusun di Pahang, hingga ladang di Sabah dan tanah subur di Sarawak – adalah kekuatan tersembunyi di sebalik kestabilan negara.
Tambahnya, walaupun rakyat menyambut Hari Kebangsaan dengan kibaran bendera dan laungan ‘Merdeka’, wajah peladang antara watak penting dalam erti kemerdekaan negara pada hari ini.
“Negara yang tidak mampu menyediakan makanan untuk rakyatnya sendiri masih belum benar-benar merdeka,” katanya.
Mahfuz menegaskan LPP bukan sekadar sebuah institusi kerajaan, tetapi rumah besar yang menyatukan lebih sejuta peladang di seluruh Malaysia.
Katanya, LPP komited untuk memperkasakan peladang dengan latihan, kemahiran, teknologi moden dan sokongan digital agar mereka terus berdaya saing dalam dunia pertanian masa kini.
Beliau turut menyeru generasi muda agar melihat sektor pertanian sebagai industri moden yang berpotensi tinggi, bukan lagi kerja kelas kedua.
“Dengan dron, automasi, sistem fertigasi, kecerdasan buatan (AI) dan e-dagang, dunia pertanian sedang berubah. Kita mesti memastikan peladang kita tidak ketinggalan,” katanya.