Prestasi 100 hari: Nilai berdasarkan fakta, bukan persepsi, kata Wan Junaidi

Prestasi 100 hari: Nilai berdasarkan fakta, bukan persepsi, kata Wan Junaidi

Menteri di JPM, Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata penilaian tepat hanya boleh dibuat bersandarkan fakta, bukannya persepsi.

Ada kemungkinan peserta kaji selidik tidak mengetahui secara mendalam apakah KPI dikehendaki seseorang menteri dan kementeriannya, kata Menteri di JPM, Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
PETALING JAYA:
Kaji selidik prestasi 100 hari menteri dan kementerian yang dibuat secara dalam talian selama 15 hari, bermula semalam, mempunyai kebaikan dan keburukannya dalam aspek penilaian adil oleh masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Daripada sudut kebaikan, kaji selidik itu menuntut pihak menteri dan kementerian bertindak bijak mengendalikan hebahan aktiviti dan pencapaian, termasuk kedua-duanya bukan sahaja perlu kuat bekerja, tetapi juga perlu dilihat berbuat demikian.

“Kita (menteri) bukan sahaja bertanggungjawab kepada Parlimen, kerajaan malah turut bertanggungjawab kepada pembayar cukai.

“Dalam keadaan sedemikian, ada kebaikan kaji selidik dalam talian itu, ia mengajar kita semua bagaimana bertindak dalam dunia terbuka di mana tiada lagi rintangan kepada penyebaran maklumat,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penilaian terhadap prestasi 100 hari Menteri dan Kementerian yang kini dijalankan melalui soal selidik di laman MyTinjauanAKM sehingga 15 November ini.

Sementara itu, Wan Junaidi bimbang mengenai ketepatan penilaian oleh masyarakat terhadap prestasi menteri dan kementerian apabila ia dibuat secara dalam talian.

Beliau menjelaskan, penilaian yang tepat hanya boleh dibuat bersandarkan fakta, bukannya persepsi sendiri.

“Apa apa saja kajian secara dalam talian, ia tidak berlandaskan kepada fakta apa yang berlaku dan berkemungkinan (peserta kaji selidik) tidak mengetahui secara mendalam apakah petunjuk prestasi utama (KPI) dikehendaki seseorang menteri dan kementeriannya.

“Apabila berlandaskan persepsi, masyarakat hanya melihat kepada kecekapan hubungan raya atau publisiti yang dibuat oleh kementerian-kementerian.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.