Mas Ermieyati gesa Bersatu ubah persepsi hanya bela Melayu, Islam

Mas Ermieyati gesa Bersatu ubah persepsi hanya bela Melayu, Islam

Mas Ermieyati Samsudin berkata Wanita akan cari pendekatan ubah persepsi itu sekali gus buka mata rakyat sokong Bersatu dan Perikatan Nasional.

Mas Ermieyati
Mas Ermieyati Samsudin akan segera merapatkan saf kepimpinan Wanita selepas pemilihan Bersatu dalam usaha memperkukuh gerak kerja terutama sebagai persiapan menghadapi PRU16.
PETALING JAYA:
Bakal Ketua Wanita Bersatu Mas Ermieyati Samsudin berazam mencari pendekatan untuk mengubah persepsi yang parti itu hanya memperjuangkan Islam dan Melayu.

Beliau yang menang tanpa bertanding selepas penyandang jawatan Rina Harun menarik diri berkata, sayap itu mahu membuka mata rakyat menyokong Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

“Kita tidak mahu orang luar (bukan Islam) melihat Bersatu hanya jaga hal Melayu-Islam sahaja tetapi memperjuangkan pelbagai isu termasuk soal wanita, kekeluargaan, ekonomi, sosial dan sebagainya merentasi kaum dan agama,” katanya dalam wawancara bersama FMT.

Beliau berkata, antara pendekatan boleh diambil bagi merealisasikan hasrat itu adalah kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menarik sokongan bukan Melayu.

“Saya mempunyai latar belakang dalam gerakan kepimpinan belia begitu juga NGO, pastinya saya akan guna kelebihan itu untuk meneruskan libat urus supaya kita lebih memahami hati nurani rakyat.

“Kita tak boleh bergantung hanya maklumat dalam parti, jadi penting kerjasama dengan NGO untuk memahami lebih dekat isu dihadapi rakyat contohnya keganasan rumah tangga. Kalau dalam parti sesetengah cerita sahaja kita dapat…kalau kita luaskan jaringan, kita akan dapat sentuhan terbaik dan input dalam melihat dasar yang kita bangkitkan,” katanya.

Sementara itu, Mas Ermieyati setuju pandangan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Wan Saiful Wan Jan Bersatu perlu mempunyai naratif dan tawaran jelas kepada rakyat tanpa bergantung undi protes untuk menjadi kerajaan.

Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, Bersatu perlu mempunyai identiti dan kekuatan sendiri tanpa perlu bergantung kelemahan orang lain.

“Dalam kita nak dapat kekuatan tersebut banyak perkara harus kita lakukan, ini termaktub perkara digagaskan presiden (Muhyiddin Yassin) melalui idealisme Bersatu antaranya inklusif, demokrasi, prihatin, perlu dijadikan teras perjuangan,” katanya.

Pada 5 Okt lalu Wan Saiful berkata, Bersatu mempunyai potensi tinggi mengambil alih pemerintahan bukan hanya Putrajaya tetapi beberapa negeri.

“Bergerak ke hadapan, Bersatu mesti pastikan kita ada naratif dan tawaran jelas untuk rakyat. Kita tidak boleh terus bergantung kepada undi protes,” katanya.

Dalam pada itu, Mas Ermieyati memaklumkan akan segera merapatkan saf kepimpinan Wanita selepas pemilihan Bersatu bulan depan dalam usaha memperkukuh gerak kerja terutama sebagai persiapan menghadapi PRU16.

“Suka tak suka tugas saya akan satukan semua pihak. Itu yang ketua Srikandi (Rina) harapkan supaya tak ada perpecahan berlaku dalam Srikandi (Wanita) dan itu janji saya pada beliau,” katanya.

Beliau berharap siapa sahaja yang diberikan kepercayaan pada pemilihan, fokus dan bekerja bersamanya dengan Naib Ketua Wanita Nolee Ashilin Mohammed Radzi dalam usaha memberikan ‘sentuhan segar’ kepada sayap itu selain meneruskan legasi pemimpin terdahulu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.