
Jayum Jawan dari Akademi Sains Malaysia, berkata langkah PN jelas memaparkan isu antara Bersatu dan PAS, dua parti utama dalam PN.
“Ia juga memberikan isyarat kurangnya keyakinan pemimpin gabungan itu terutama terhadap Pengerusi Muhyiddin Yassin,” katanya kepada FMT. Katanya pesaing Muhyiddin dalam Bersatu dan PAS sedang mengintai jawatan disandangnya dalam PN, yang mana akan memecahkan gabungan berkenaan.
Pada Khamis, Mahathir berkata, beliau dan beberapa pimpinan PN bersatu melawan “musuh bersama orang Melayu”. Beliau mendakwa hak orang Melayu dirampas secara beransur-ansur di bawah kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Kuasa Melayu atas Tanah Melayu akan hilang jika satu usaha tidak dilakukan dari sekarang untuk menghalangnya. Kami setuju bahawa kita mempunyai musuh yang sama. Kami perlu bersatu lawan musuh bersama ini,” katanya.
Namun, penganalisis politik James Chin dari University of Tasmania, berkata tindakan Mahathir dilihat lebih cenderung untuk merendahkan Anwar, berbanding isu nasional yang lebih meluas.
“Mahathir tidak pernah menyokong Anwar dan beliau tidak pernah mengubah pendirian itu sejak memecat Anwar sebagai timbalan perdana menteri pada lewat 90-an. Beliau berulang kali menyatakan Anwar tidak layak memimpin Malaysia, walaupun selepas Anwar menjadi perdana menteri,” katanya.
Chin berkata, bagi pimpinan PN, penglibatan Mahathir mungkin strategi menghimpunkan sokongan orang Melayu bawah satu payung. Manakala, Mahathir cuba memperlekeh Anwar dengan PN pula menggunakan bekas perdana menteri itu untuk memenangi undi Melayu.
Keputusan membawa ‘kembali orang lama’ dilihat Jawan sebagai tanda kompromi bagi menenangkan kumpulan pesaing. Ia memaparkan ketidakmampuan pimpinan PN menyelesaikan pergelutan dalaman, katanya.
Bulan lalu, Mursyidul Am, Hashim Jasin, berkata PAS layak memimpin PN kerana wakil rakyatnya paling ramai di Parlimen dan mempunyai jentera akar umbi yang kuat di seluruh negara.
Jawan berkata, Bersatu dan PAS kekal menjadi pencabar terkuat kepada Umno dan PKR dalam kalangan orang Melayu di Semenanjung, namun pergantungan terhadap Mahathir yang tidak lagi berkuasa akan menjauhkan pengundi.
Jawan berkata: “Era beliau telah lama berlalu.” Kekalahan Mahathir di Langkawi pada PRU 2022 sehingga hilang deposit, merupakan babak memalukan dalam kerjaya politik pemimpin berusia 99 tahun itu.
“Sejak beliau meninggalkan Umno pada 2016, beliau berpindah-randah menyokong pelbagai parti dan gabungan politik atas alasan peribadi,” katanya.