
Azmar Ab Hamid@Shaaim, 49, berkata, hasrat untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan itu adalah kerana dia mahu memastikan visi dan misinya membela rakyat dapat diterjemahkan pada PRN walaupun terpaksa berdepan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, pemilihan DUN Asahan sebagai lokasi untuk memberikan khidmatnya kepada rakyat adalah tepat kerana beliau merupakan anak jati kawasan itu selepas bosan melihat pergolakan politik yang melanda negeri Melaka.
“Hasrat untuk bertanding muncul kerana mendapati situasi politik tidak akan reda selepas PRN kerana ada pihak pasti tidak akan berpuas hati dan berkemungkinan berlaku lompat parti seperti sebelum ini.
“Berdasarkan keadaan itu, saya mahu memastikan tiada lagi situasi berkenaan (lompat parti) dan pada masa sama memfokuskan kepada pembangunan rakyat,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Azmar berkata, beliau akan menggunakan logo payung kerana konsepnya ingin memayungi rakyat dan rakyat bersama-sama membina negeri.
“Namun jika tidak dibenarkan saya bercadang menggunakan lambang kunci, tetapi semuanya terpulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menentukan lambang pilihan untuk saya walaupun mempunyai cadangan lambang sendiri,” katanya.
Beliau berkata, walaupun belum terdapat rekod menunjukkan kemenangan buat calon Bebas di DUN berkenaan, beliau yakin mampu menarik pengundi berdasarkan perkembangan situasi semasa.
Kerusi DUN Asahan terletak dalam kawasan Parlimen Alor Gajah mempunyai 16,011 pengundi berdaftar berdasarkan data pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Pada PRU14, Abdul Ghafar Atan daripada BN mempertahankan kerusi itu selepas meraih 5,942 undi selepas menang dengan majoriti 275 undi menewaskan Zamzuri Arifin (PH-Bersatu) yang memperoleh 5,667 undi manakala Azlan Maddin (PAS) mendapat 1,365 undi.