Pesara didenda RM22,000 kerana rasuah RM3,000

Pesara didenda RM22,000 kerana rasuah RM3,000

Norhayati Mohd Daud dijatuhi hukuman itu selepas gagal melaporkan kepada pihak berkuasa selepas menerima suapan berjumlah RM3,000.

KUALA LUMPUR:
Seorang pesara didenda RM22,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana gagal melaporkan kepada pihak berkuasa bahawa dia menerima rasuah berjumlah RM3,000.

Bekas Naib Presiden Bahagian Pemulihan Korporat dan Pemulihan Projek di Malaysia Building Society Bhd (MBSB) Norhayati Mohd Daud mengaku bersalah di hadapan hakim Rozina Ayob terhadap dakwaan mengikut Seksyen 25(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas gagal membuat laporan kesalahan itu kepada pihak berkuasa.

Sekiranya gagal membayar denda itu, tertuduh perlu menjalani hukuman penjara enam bulan.

Norhayati menerima rasuah berjumlah RM3,000 daripada Mohd Noor Siden pada 3 Feb 2016.

Wang terbabit diberikan sebagai “ganjaran” kepada Norhayati selepas membantu Mohd Noor memujuk ahli lembaga pengarah MBSB untuk menukar permohonan jaminan kewangan berjumlah RM60 juta kepada pinjaman jangka pendek berjumlah RM10 juta.

Ketika mitigasi, Norhayati yang tidak diwakili peguam memberitahu mahkamah bahawa dia menyesal dengan perbuatannya dan mendakwa telah “ditipu” oleh Mohd Noor.

Tertuduh juga merayu supaya mahkamah mengenakan hukuman denda kurang daripada RM10,000.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah mengenakan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM25,000.

“Mahkamah harus menyeimbangkan antara kepentingan awam dan kepentingan tertuduh.

“Kami berharap mahkamah dapat menyampaikan mesej menerusi kes ini bahawa orang awam perlu tahu mereka mempunyai tanggungjawab untuk melaporkan sebarang kegiatan rasuah kepada SPRM,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.