Keputusan jual aset Petronas di Azerbaijan bukan atas desakan politik, kata Tok Pa

Keputusan jual aset Petronas di Azerbaijan bukan atas desakan politik, kata Tok Pa

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, ia sebahagian daripada usaha penilaian semula aset dan portfolio perniagaan Petronas secara berterusan.

Mustapa Mohamed berkata, aset gas Petronas di Azerbaijan itu dikenal pasti antara aset untuk dijual sejak 2019, tetapi penjualan itu hanya dapat dilaksanakan tahun ini bagi memastikan harganya dapat memberikan nilai wajar dan berpatutan. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Keputusan penjualan aset gas Petronas di Azerbaijan berdasarkan penilaian komersial jangka panjang serta pemampatan kos untuk menjamin daya tahan dan kecemerlangan operasi serta komersial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Mustapa Mohamed berkata, ia sebahagian daripada usaha penilaian semula aset dan portfolio perniagaan Petronas secara berterusan.

“Langkah ini perlu diambil bagi mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh. Dalam hal ini, bukan sahaja aset di Azerbaijan yang terlibat, malah aset lain yang memenuhi potensinya turut diberi pertimbangan sama ada untuk dijual atau dikurangkan pemilikan aset.

“Keputusan yang diambil Petronas juga bertepatan strategi kumpulan untuk memastikan portfolio huluan yang berfokus, berdaya saing dan mampan,” katanya pada sesi kamar khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab usul Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) mengenai laporan Petronas telah menjual aset gas di Azerbaijan hampir RM10 bilion berikutan desakan kerajaan menaikkan bayaran dividen Petronas sebanyak RM25 bilion kepada kerajaan pada 2021.

Mustapa menegaskan keputusan itu bukanlah atas desakan politik.

Katanya, aset di Azerbaijan dikenal pasti antara aset untuk dijual sejak 2019.

Bagaimanapun, beliau berkata, proses jualan mengambil masa untuk memastikan harga penjualan aset dapat memberikan nilai wajar dan berpatutan, serta hanya dapat dilaksanakan tahun ini.

“2020 adalah tahun amat mencabar dan penjualan aset di Azerbaijan pada tahun lepas sudah pasti tidak sesuai.”

Katanya, penjualan aset itu juga sejajar strategi tiga serampang Petronas, iaitu memaksimumkan penjanaan aliran tunai, mengembangkan perniagaan teras dan menceburi sektor perniagaan baharu.

Mengenai pembayaran dividen Petronas kepada kerajaan persekutuan, Mustapa berkata, ia dilakukan berdasarkan penilaian teliti oleh lembaga pengarah syarikat dan pembayarannya berdasarkan keadaan serta prestasi kewangan semasa.

“Kelulusan bayaran dividen RM18 bilion pada Feb 2021 berdasarkan prestasi dan pasaran pada 2020 yang berakhir Disember 2020.

“Jumlah ini lebih rendah daripada tahun sebelumnya kerana impak daripada pasaran yang amat lemah dan harga minyak mentah global yang rendah akibat pandemik Covid-19.

“Kelulusan dividen tambahan RM7 bilion yang dibuat pada Julai 2021 pula berdasarkan kemampuan dan unjuran prestasi pasaran minyak yang lebih baik bagi 2021.”

Selain itu, Mustapa berkata, saingan pasaran di Eropah sangat kompetitif, dengan Rusia menguasai landskap gas di Eropah dan ini menimbulkan banyak masalah, sekali gus menjadi antara sebab Petronas menjual aset di Azerbaijan itu kepada syarikat Rusia.

Sementara itu, beliau berkata, bagi tempoh sepuluh bulan pertama tahun ini, purata harga Brent adalah kira-kira ASD69 setong berbanding purata ASD64 setong pada 2019. Malah, ia pernah jatuh mendadak sehingga ASD17.32 setong pada 21 April 2020.

Menurutnya, Petronas meraih keuntungan bersih lebih tinggi berjumlah RM9.3 bilion pada suku pertama tahun ini berbanding RM4.5 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun lepas, disokong pemulihan harga minyak dan gas sejak penularan pandemik Covid-19 yang menjejaskan pendapatan syarikat.

Katanya, keuntungan bersih lebih tinggi itu juga sejajar kos keseluruhan lebih rendah yang ditanggung oleh kumpulan.

“Saya ingin menegaskan realitinya Petronas mampu membayar dividen sebanyak RM25 bilion dan komited untuk terus menyumbang kepada negara dan masyarakat.

“Bagi memastikan komitmen ini tercapai, Petronas telah membuktikan kemampuan untuk menghasilkan aliran tunai yang kukuh.

“Petronas akan terus memainkan peranan penting dalam menjamin masa depan Malaysia yang lebih bersih, inovatif dan kompetitif sejajar dengan aspirasi Petronas bagi misi pelepasan karbon sifar bersih 2050.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.