
Tertuduh berusia 65 tahun membuat pengakuan itu sejurus kertas pertuduhan dibacakan kepadanya di depan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu dengan menunjukkan video lucah di dalam telefon bimbitnya kepada dua anak perempuan yang berusia 16 tahun lima bulan.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh di sebuah rumah di Pulau Gadung, pada April dan Mei 2021.
Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15 (e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga sebat jika sabit kesalahan.
Bagi dua lagi kesalahan mengikut Seksyen 14(a) akta sama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sama pada 10 pagi, 6 Jun 2021 dan 8 malam, keesokannya di lokasi sama.
Prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Anis Wahidah Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam Andrew Lourdes.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000, selain menetapkan 29 Nov tarikh sebutan semula kes.