
Hakim Collin Lawrence Sequerah yang membenarkan rayuan Saiful berkata, polis hanya mengambil satu sampel air kencing perayu sahaja untuk dianalisis.
“Perayu telah dinafikan dua sampel urin dan ini adalah garis panduan prosedur ketat yang harus dipatuhi,” katanya.
Saiful didakwa menggunakan dadah jenis THC di sebuah hotel, di sini, pada jam 2.05 pagi, 5 Jan 2019.
Pada 24 Jun tahun lalu, majistret Mohamad Aizat Abdul Rahim menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.
Mahkamah turut memerintahkan Saiful menjalani hukuman penjara bermula 24 Jun tahun lalu dan menjalani pengawasan selama dua tahun di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebaik hukuman itu selesai.
Saiful dibebaskan dengan ikat jamin RM9,000 sementara menunggu keputusan rayuan.
Sequerah berkata, polis mesti mengikuti Perintah Tetap Ketua Polis Negara dan garis panduan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai pengambilan sampel urin memandangkan kedua-duanya mempunyai kuasa undang-undang.
Katanya, Saiful dinafikan hak untuk mendapat perbicaraan adil apabila pematuhan prosedur ketat seperti ditetapkan di bawah Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan tidak dipatuhi.
“Perayu tidak diberikan mengikut apa yang ditetapkan oleh undang-undang prosedur. Dia kehilangan peluang yang terbuka untuknya,” katanya.
Katanya lagi, terdapat sebab yang kukuh mengapa dua sampel mesti diambil kerana ujian pertama oleh polis hanya bersifat anggapan manakala analisis oleh Jabatan Kimia adalah ujian pengesahan.
“Tindakan mengambil hanya satu ujian air kencing mendedahkan sampel kepada risiko untuk dicemari yang memberi kesan terhadap ujian pengesahan,” katanya.
Tambah beliau, undang-undang mesti ditafsirkan dengan tegas sebagai pertuduhan terhadap Saiful.
Sequerah berkata, peruntukan di bawah Akta Dadah Berbahaya menyatakan seseorang dianggap mengambil atau memberikan dadah berbahaya sehingga dibuktikan sebaliknya.
“Anggapan itu hanya berlaku selepas keputusan ujian kedua ke atas sampel,” katanya sambil menambah ujian itu mesti dijalankan bagi memastikan integriti sampel tidak terjejas.
Beliau berkata, Saiful diletakkan pada standard yang lebih tinggi – berdasarkan imbangan kebarangkalian – untuk menyangkal anggapan itu.
“Mahkamah mendapati kegagalan pihak polis untuk mematuhi garis panduan dengan tidak mengambil dua sampel air kencing menyebabkan sabitan menjadi cacat,” katanya.