2 rakan bawa syabu RM1.5 juta ditahan di lebuh raya

2 rakan bawa syabu RM1.5 juta ditahan di lebuh raya

Kedua-dua suspek berusia 30an ditahan di Kilometer 236.9, Lebuhraya Utara-Selatan dekat Pedas, Rembau pada 12 Februari lalu.

ALZAFNY AHMAD
Ketua Polis Negeri Sembilan Alzafny Ahmad berkata kedua-dua suspek ditahan dengan menaiki Perodua Bezza dan membawa sejumlah dadah disyaki syabu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis menahan dua lelaki yang membawa dadah disyaki jenis syabu dianggarkan bernilai RM1.5 juta di Kilometer 236.9, Lebuhraya Utara-Selatan dekat Pedas, Rembau, 12 Februari lalu.

Mereka ditahan hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Negeri Sembilan serta Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Alzafny Ahmad, berkata pasukan operasi sebelum itu menahan Perodua Bezza yang dinaiki dua lelaki tempatan di tepi lebuh raya.

“Hasil pemeriksaan ke atas kereta suspek, kita menemui dua guni plastik masing-masing berisi 15 bungkusan teh Cina.

“Pemeriksaan lanjut membawa kepada rampasan 30 bungkusan berisi bahan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 30,601 gram dengan nilai RM1.56 juta,” katanya pada sidang media di IPK Negeri Sembilan hari ini, menurut Harian Metro.

Katanya, siasatan juga mendapati kedua-dua suspek berusia 30an terbabit bertindak sebagai ‘transporter’ dan dadah berkenaan dipercayai untuk dipasarkan di sekitar selatan tanah air.

“Dadah ini dipercayai dari Puchong, Selangor. Siasatan awal mendapati kegiatan ini aktif sejak 2025 dan dipercayai menyasarkan pasaran di negeri sebelah selatan.

“Semakan juga mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan narkotik dan memiliki barang curi.

“Kami difahamkan dua suspek ini bertindak sebagai ‘transporter’ yang berasal dari Johor. Mereka bekerja sebagai mekanik serta nelayan. Kedua-duanya adalah rakan sekampung,” katanya.

Alzafny berkata kedua-duanya telah direman tujuh hari bermula 13 Februari yang tamat hari ini bagi membantu siasatan.

“Permohonan reman baharu dibuat dan disambung selama empat hari lagi.

“Hasil ujian saringan urin juga mendapati suspek positif dadah jenis methaphetamine. Kami yakin masih terdapat ahli sindiket lain dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.