
Menurut laporan Utusan Malaysia, hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali merekodkan penghakiman persetujuan bagi penyelesaian kes itu.
Bagaimanapun peguam, Noor Atiqah Abdul Rahman, yang mewakili Mohamad ketika dihubungi media tidak mendedahkan terma penyelesaian.
Sementara itu peguam, Yusfarizal Yussoff, yang mewakili Roslan Shahir Mohd Shahir, yang juga kolumis akhbar Harakah dan di portal Harakahdaily, Wan Nordin Wan Yaacob dan penerbit, Galeri Media Serbanika Sdn Bhd (Galeri Media), sebagai defendan pertama hingga ketiga, ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan.
Pada 28 Oktober, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, memfailkan saman atas dakwaan kesemua defendan pada 14 September 2020 telah menerbitkan artikel berbaur fitnah bertajuk ‘Husam: PAN parti diktator’ di laman sesawang Harakahdaily dan merujuk kepada Mohamad yang juga Presiden Amanah.
Artikel tersebut didakwa merujuk kepada Mohamad dan memberikan gambaran bahawa plaintif adalah seorang Presiden bersifat diktator dan bertujuan merendahkan maruah dan kredibiliti dirinya.
Mohamad menyatakan, susulan daripada penerbitan artikel itu, plaintif mendakwa beliau telah berasa malu, kredibiliti dan reputasi terjejas dan dipandang hina oleh masyarakat.
Bekas anggota Kabinet itu antara lain memohon ganti rugi am, teruk dan teladan yang akan ditaksirkan oleh mahkamah dengan faedah sebanyak 5% setahun dari tarikh saman difailkan sehingga penyelesaian penuh.
Bagaimanapun Roslan Shahrir, Wan Nordin dan Galeri Media dalam pernyataan pembelaan masing-masing menyatakan mereka mempunyai tanggungjawab politik dan moral untuk menerbitkan artikel terbabit kepada masyarakat umum, khususnya kepada pengundi.
Defendan berkata, mereka tiada niat jahat untuk mensensasikan berita dan meningkatkan jumlah pelawat pengunjung laman sesawang https://harakahdaily.net, bahkan capaian laman sesawang itu adalah seperti biasa sebelum dan selepas penerbitan artikel berkenaan.
Katanya, mereka juga tiada niat jahat untuk mendapatkan faedah kewangan melalui penerbitan artikel terbabit, malah tidak memperoleh apa-apa faedah kewangan melainkan capaian biasa.