
Kumpulan yang menjadi teras gerakan itu, iaitu Persatuan Pendidikan Tinggi Malaysia (HEYA), berhasrat untuk membolehkan penciptaan suatu sistem urus tadbir yang mantap untuk institusi pendidikan tinggi menerusi reformasi perundangan.
HEYA percaya sistem sedemikian akan membawa kepada pentadbiran universiti secara bebas, inklusif dan profesional, serta dalam masa sama membolehkan pengurusan institusi berkenaan dipacu berdasarkan keperluan ilmiah dan pembangunan.
Reformasi sedemikian dipercayai akan memberikan kebebasan kepada pelajar dalam ekosistem ilmiah yang tak berpihak.
Bagi mencapai hasrat itu, HEYA menggariskan Rangka Tindakan Reformasi Akta Universiti dan Kolej Universitinya sendiri susulan rundingan meluas dengan pelbagai universiti dan kumpulan belia serta Kementerian Belia dan Sukan sendiri.
Lebih 16 ahli politik daripada lapan parti turut terlibat dalam libat urus tertutup bersama HEYA dan diberi taklimat mengenai Rangka Tindakan Reformasi AUKU itu.
Rangka Tindakan itu disambut baik oleh wakil rakyat pemerintah dan pembangkang terbabit, malah ada yang menyifatkannya sebagai langkah perlu bagi Malaysia memandangkan pendidikan merupakan salah satu tunjang negara yang memerlukan reformasi struktur dan institusi.
Ketika generasi muda semakin tertarik dengan politik, mereka bersetuju AUKU perlu direformasikan bagi membolehkan pelajar terlibat secara lebih giat.
“Ekonomi dan persekitaran pelajar adalah antara faktor kenapa mereka tidak berebut-rebut untuk menyertai politik. Kebanyakan mereka dibebani hutang dan pihak keluarga atau masyarakat pula mengharapkan mereka mencapai perkara tertentu.
“Saya percaya ada kalangan mereka yang berfikir dua kali sebelum memperjuangkan hak masing-masing atau melawan universiti atau kerajaan,” kata seorang ahli politik yang menyertai sesi itu.
HEYA antaranya mencadangkan kepelbagaian sumber lantikan ke peringkat pengurusan tertinggi universiti bagi mengehadkan campur tangan menteri dalam urus tadbir institusi dan operasinya.
Matlamat cadangan ini adalah untuk menghasilkan persekitaran yang telus dan bertanggungjawab dalam tadbir urus dan operasi universiti, selain menyelaras pembangunan universiti dan dasar pendidikan.
Bagi memastikan kebebasan ilmiah dan menguatkan autonomi institusi pendidikan tinggi, HEYA mencadangkan pembentukan badan profesional baharu di bawah Akta Majlis Parlimen.
Ini akan menjarakkan kuasa lembaga universiti daripada kuasa menteri sekali gus membolehkan cadangan yang tidak berpihak dibuat.
Badan itu juga akan mempunyai lembaga penasihat kepada menteri yang terdiri daripada ahli akademik.
HEYA turut mencadangkan keperluan rundingan wajib dengan kakitangan fakulti berhubung pelantikan dekan dimansuhkan. Sebaliknya pencalonan untuk jawatan itu hendaklah dibuat oleh ahli akademik di fakulti terbabit.