
Nottinghamshire Live melaporkan, universiti berkenaan yang menjadi sebahagian daripada Russell Group, telah melakukan ratusan pemberhentian pekerjaan, manakala dua daripada kampusnya di UK telah disenarai untuk dijual di tengah-tengah tekanan kewangan.
Penyata kewangan universiti berkenaan bagi tahun berakhir 31 Julai 2025, menyatakan terdapat £5.1 juta (kira-kira RM26.9 juta) dalam bentuk ‘hutang ragu’ melibatkan yuran pengurusan yang ‘tertunggak’ dari kampusnya di Semenyih, Selangor.
Laporan akaun terbabit mengambil maklum universiti itu menguruskan pengajaran di kampus Malaysia dan menerima yuran pengurusan, selain daripada perkongsian lebihan atau defisit daripada prestasi kewangan kampus berkenaan, berdasarkan pegangan sahamnya sebanyak 29.9%.
Universiti tersebut menyatakan, sejumlah £5.1 juta itu dinilai hutang ragu sebagai ‘pengakuan terhadap kedudukan kewangan University of Nottingham Malaysia yang lebih mencabar’.
Penyata itu juga menunjukkan University of Nottingham telah membelanjakan £595,000 (kira-kira RM3.13 juta) untuk entitinya di Malaysia pada tahun kewangan lalu, manakala hanya menerima pendapatan £380,000 (kira-kira RM2 juta).
Kemerosotan pendapatan disebut merupakan penurunan ketara berbanding lebih £1.8 juta (lebih RM9.49 juta) direkodkan pada 2024 dan 2023, serta lebih sedikit daripada £2.8 juta (kira-kira RM14.76 juta) pada 2022.
Laporan akaun menyatakan, nilai perlu dibayar kampus Malaysia berjumlah £7.599 juta (kira-kira RM40.05 juta) setakat Julai 2025, meningkat daripada £5.558 juta (kira-kira RM29.29 juta), pada tahun sebelumnya.
Seorang jurucakap University of Nottingham, berkata ‘tidak sepatutnya’ untuk bergantung kepada penyata kewangan terbaharu semata-mata, bagi menilai prestasi keseluruhan kampus Semenyih.
“Adalah penting untuk melihat manfaat yang lebih luas dibawa kampus luar negara kami kepada universiti dan komuniti global kami.
“University of Nottingham merupakan pelopor pendidikan transnasional apabila kami membuka kampus di Malaysia,” kata jurucakap itu, sambil menambah ‘pandangan global’ universiti berkenaan adalah apa yang membezakannya dalam sektor pendidikan tinggi UK.
Meskipun pihak universiti tidak mendedahkan bilangan penuntut semasa di kampus Malaysia dalam penyata kewangannya, satu laporan impak sempena ulang tahun ke-25 menyatakan terdapat 4,056 pelajar di sana pada 2024.
Ia menunjukkan penurunan berbanding 4,866 penuntut yang dilaporkan pada 2016 dan 4,881 pada 2017. Pada 2021, universiti tersebut menyatakan kampus berkenaan mempunyai 5,200 pelajar.
Pada 2021, universiti berkenaan mengumumkan rancangan membeli baki kepentingan rakan usaha sama dari Malaysia, Boustead Holdings Bhd, pada harga £23.5 juta (kira-kira RM123.85 juta).
Namun, urus niaga itu tidak pernah dimuktamadkan dan jurucakap universiti enggan mengulas mengenai puncanya.
FMT telah menghubungi University of Nottingham Malaysia untuk mendapatkan ulasan.