Ordinan Darurat diungkai secara rasmi di Dewan Rakyat

Ordinan Darurat diungkai secara rasmi di Dewan Rakyat

Oleh itu Ordinan berkenaan secara rasmi telah dibatalkan pelaksanaannya.

Usul itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan diluluskan selepas hampir 20 Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang membahaskannya. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Dewan Rakyat hari ini sebulat suara bersetuju meluluskan ketetapan menurut Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan untuk mengungkaikan Ordinan-ordinan Darurat.

Oleh itu, ordinan berkenaan secara rasmi dibatalkan pelaksanaannya.

Usul itu dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan diluluskan selepas hampir 20 Ahli Parlimen daripada kerajaan dan pembangkang membahaskannya.

Sebelum itu, wakil pembangkang memaklumkan usul berkenaan sepatutnya dibahaskan lebih awal, bukannya setelah ia dibatalkan selepas 1 Ogos.

Terdahulu dalam ucapan penggulungan, Wan Junaidi berkata, kerajaan mengambil maklum cadangan dibuat semua wakil rakyat ketika berbahas berhubung ordinan itu.

Katanya, tindakan memasyhurkan Proklamasi Darurat yang dilaksanakan sebelum ini adalah tindakan terbaik yang diambil kerajaan bagi memastikan keadaan tidak menjadi lebih teruk dalam mendepani penularan wabak Covid-19.

“Ia juga bagi pandangan kerajaan, tindakan paling munasabah dan wajar bagi membantu rakyat yang terjejas teruk disebabkan pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk negara,” katanya sambil memaklumkan bahawa pelaksanaan darurat berjaya mengawal jangkitan Covid-19 sehingga varian Delta muncul mengakibatkan kes meningkat.

Beliau juga menolak dakwaan kerajaan gagal mengawal Covid-19 dengan pelaksanaan darurat kerana wabak itu merupakan penyakit baharu dan tiada negara mempunyai pengalaman menghadapinya.

Sebanyak tujuh ordinan yang diungkaikan, iaitu Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021, serta Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021.

Selain itu, turut diungkaikan ialah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No. 2) 2021, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Pindaan) 2021, Ordinan Darurat (Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah) (Pindaan) 2021, dan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021.

Selaras peruntukan Fasal (3) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, Wan Junaidi memaklumkan Proklamasi Darurat dan sebarang ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150, perlu dibentangkan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Jika tidak terlebih dahulu dibatalkan, ia perlu berhenti berkuat kuasa sekiranya kedua-dua majlis meluluskan ketetapan mengungkaikan proklamasi atau ordinan itu, tanpa menjejaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong.

“Proklamasi Darurat dilaksana untuk membolehkan ordinan dimasyhurkan bawah Fasal (2B) Perkara 150 bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu untuk mengekang dan menghalang daripada berlakunya penularan wabak Covid-19 dengan lebih serius di negara ini.

“Gelombang ketiga wabak Covid-19 yang melanda negara bermula September 2020 menunjukkan kenaikan kes positif dan kematian begitu mendadak.

“Hingga 24 Okt lalu, jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 ialah sebanyak 2,426,050 kes, manakala jumlah kes aktif ialah 77,305 kes dan kematian pula 28,354 kes,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.