E-undi terlalu banyak risiko, kata penyelidik

E-undi terlalu banyak risiko, kata penyelidik

Terdapat banyak kelemahan dalam keseluruhan struktur maya yang boleh dieksploitasi, kata penyelidik.

Sebuah mesin pengundian elektronik dipamerkan di Pakistan pada Mei. (Gambar NAP / Twitter)
PETALING JAYA:
Pengundian elektronik (e-undi atau I-undi) tidak boleh dilaksanakan di negara ini buat masa ini, menurut seorang saintis politik, yang memetik risiko keselamatan sebagai “terlalu besar untuk ditangani”.

Azmil Tayeb, yang menyelidik kaedah pengundian itu selama dua bulan mulai Februari tahun ini, berkata sistem itu cenderung terjejas.

Tambahnya, walaupun keselamatan internet telah berkembang dan menjadi semakin pesat dari semasa ke semasa, terdapat banyak kelemahan dalam keseluruhan struktur maya kaedah itu yang boleh dieksploitasi.

Apabila berkenaan sesuatu yang penting seperti pilihan raya di mana setiap undi bermakna, Azmil berkata, pengundi mahukan jaminan bahawa undian mereka melalui klik pada komputer atau telefon pintar benar-benar akan dikira.

Azmil Tayeb.

“Sekarang ini tiada jaminan 100% ia dapat terjadi kerana ada banyak kemungkinan gangguan di sepanjang proses,” kata Azmil, yang telah mengkaji e-undi di Estonia.

“E-undi tidak semudah yang disangkakan.”

E-undi merangkumi bahagian hadapan, iaitu pengundi dan peranti mereka; bahagian tengah, iaitu pelayan tempat undi dalam talian akan disimpan; dan bahagian belakang, di mana undi akan dikira.

Azmil, dari Universiti Sains Malaysia (USM), berkata kelemahan keselamatan yang boleh dieksploitasi wujud “pada setiap titik”.

Bahagian hadapan, katanya, paling rentan, dan penggodam dengan mudah boleh menghantar bot dan perisian hasad (malware) untuk menjangkiti peranti elektronik peribadi.

Pelayan pusat, di mana undian akan dihantar, juga rentan terhadap serangan DDoS, di mana pelayan yang disasarkan dibanjiri ratusan ribu permintaan serentak, menyebabkan ia rosak.

Serangan seperti itu boleh mengakibatkan undian salah dikira, katanya.

Azmil berkata, e-undi telah dijalankan di beberapa negara, kadangkala secara terhad sebelum dihentikan kerana risikonya “terlalu besar”, terutamanya kepada demokrasi dan kesahihan kerajaan.

“Cara paling selamat masih melalui undian atas kertas,” katanya.

Azmil berkata, walaupun tiada jaminan bahawa sistem e-undi selamat daripada serangan, ada cara untuk menghadkan insiden seperti itu, termasuk penubuhan ekosistem undian tertutup kendiri.

“Ini bermakna ia tidak dikaitkan dengan prasarana awam, melindunginya daripada gangguan luar,” katanya.

“Walaupun ia tidak 100% selamat, ia lebih baik daripada (sistem) yang disambungkan ke prasarana internet awam, mendedahkannya kepada penggodam.”

Salah satu cara untuk melakukannya, kata Azmil, adalah dengan e-undi dilakukan di pusat mengundi, di mana orang ramai akan membuang undi di papan elektronik sama seperti yang terdapat di kedai makanan segera.

Undian bukan sahaja akan dikira dengan lebih pantas, malah kiosk serupa boleh disediakan di ruangan awam seperti pusat beli-belah dan pejabat perbandaran.

Namun katanya, ini akan mengakibatkan pengundi berkumpul di kawasan-kawasan ini, menjadi risiko kesihatan ketika wabak.

“Virus mana yang anda mahu elak? Covid-19 atau perisian hasad? Itulah dilemanya,” katanya.

Tahun lalu, kerajaan Perikatan Nasional berkata, ia sedang menjalankan libat urus dengan pelbagai pemegang taruh untuk melihat sama ada e-undi dapat dilakukan bagi pilihan raya umum (PRU) berikutnya, memandangkan ia melibatkan isu-isu berkaitan kerahsiaan data, keselamatan, kos dan pendidikan pengundi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.