
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Abu Tariq Jamaluddin, berkata penyertaan tersebut bukan sahaja merangkumi pembayar cukai fasa pertama hingga fasa ketiga yang melaksanakan e-invois secara mandatori, malah melibatkan pembayar cukai fasa keempat yang menyertai secara sukarela.
“Statistik ini menunjukkan pelaksanaan e-invois diterima dengan sangat baik dalam kalangan perniagaan. Tahap pematuhan secara mandatori juga mencatatkan peratusan yang amat memberangsangkan.
“Bagi fasa I dan II, tahap pematuhan melebihi 90%. Fasa III pula belum sampai penghujung (Disember 2025), namun ia telah mencatatkan pematuhan melebihi 80%,” katanya pada sidang media.
Kerajaan memperkenalkan pelaksanaan e-invois secara berperingkat bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran percukaian serta menyokong pertumbuhan ekonomi digital.
E-invois diperkenalkan di beberapa negara sejak 2001, termasuk Chile, Brazil, Mexico, Denmark, Itali, Perancis, dan Arab Saudi.
Abu Tariq berkata pelaksanaan e-invois turut menghadapi cabaran dalam kalangan pemain industri, antaranya ketidaktepatan data.
“Antara punca utama pelaksanaan e-invois terganggu ialah penghantaran e-invois yang tidak tepat, khususnya apabila pembayar cukai tidak mempunyai nombor TIN (nombor pengenalan cukai) yang betul.
“Keadaan ini menyebabkan e-invois ditolak. Oleh itu, pembayar cukai boleh menyemak TIN mereka melalui portal rasmi LHDN untuk memastikan data tepat. Tanpa maklumat yang betul, e-invois akan ditolak pada peringkat awal,” katanya.
Fasa IV e-invois yang akan bermula 1 Jan melibatkan pembayar cukai dengan pendapatan atau jualan tahunan sehingga RM5 juta.
Pada 6 Dis, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan langkah kerajaan menaikkan nilai ambang pengecualian e-invois kepada RM1 juta (daripada RM500,000) bermula tahun depan bagi mengurangkan beban perusahaan kecil dan sederhana.