
Menurut MIROS, tindakan tersebut mengundang ancaman dan bahaya kepada penunggang itu sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
Katanya, mereka boleh berdepan tindakan undang-undang sekiranya didapati menunggang secara melulu dan membahayakan.
“Antara ancaman yang menanti adalah dilanggar kenderaan lain terutama kenderaan besar seperti bas atau lori, terjatuh, dan pencemaran udara daripada asap ekzos kenderaan bermotor.
“Pihak polis juga boleh mengambil tindakan terhadap penunggang basikal mengikut Seksyen 54(1) APJ 1987 jika mereka didapati menunggang secara melulu dan membahayakan,” katanya kepada FMT.
Risiko aktiviti menunggang basikal di jalan raya antara isu yang sering dibangkitkan termasuk beberapa hari lalu tular video di media sosial memaparkan seorang individu dipercayai menunggang basikal di tengah ibu kota sambil membawa anaknya yang masih kecil.
Menerusi video berdurasi 45 saat itu, perakam menegur tindakan individu berkenaan yang seakan-akan tidak mengendahkan soal keselamatan diri dan anaknya.
Dalam pada itu, berhubung cadangan memperkenalkan nombor plat dan lesen untuk basikal, MIROS berkata perkara itu melibatkan polisi dan undang-undang bawah bidang kuasa kementerian.
Pada 16 Sept tahun lalu, Ketua Pengarah MIROS, Khairil Anwar Abu Kassim dilaporkan berkata, cadangan tersebut merupakan usaha untuk menjaga keselamatan penunggang basikal daripada terdedah dengan kemalangan di jalan raya.
“MIROS sedang mengkaji keperluan lesen dan nombor plat untuk basikal memandangkan ia menjadi trend dan minat bagi kebanyakan masyarakat,” katanya, menurut laporan Utusan Malaysia.