
Lam Choong Wah, bekas felo di Pusat Kajian Kemajuan Sosial, menggambarkan permintaan dan bekalan di Kementerian Pertahanan sebagai “tidak simetri”, dan ini menjadi dilema angkatan tentera dalam matlamat transformasinya.
“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ingin mentransformasi diri menurut rancangan yang ditetapkan dalam kertas putih pertahanan. Namun, dari sisi lain, dana bagi tentera tidak cukup untuk menjalankan rancangan itu,” katanya kepada FMT.
Lam berkata, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada masalah ini, termasuk rasuah, dengan memetik projek menyiapkan enam kapal tempur bagi tentera laut, di mana RM1 bilion dipercayai hilang.
Bagaimanapun, dengan mengambil kira kesan ekonomi akibat wabak dan langkah-langkah sekatan, beliau tidak menjangkakan kerajaan akan meningkatkan belanjawan Kementerian Pertahanan bagi tahun akan datang.
“Harapan terbaik saya adalah peruntukan bagi Kementerian Pertahanan pada 2022 sama seperti tahun ini,” katanya.
Lam berpendapat, kerajaan perlu mempertimbangkan pembentangan Rang Undang-undang (RUU) Mobilisasi Negara yang akan memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk menggembleng sumber dan tenaga kerjanya untuk menangani kecemasan yang tidak lazim, seperti wabak.
Katanya, wabak memberi pengajaran bahawa negara tidak cukup bersedia, dengan mendakwa terdapat kekurangan sumber dan tenaga kerja untuk menguatkuasakan sekatan dan membendung cetusan jangkitan virus.
“RUU Mobilisasi Negara ini bukan sahaja akan berupaya mengerah orang awam tetapi juga menyeragamkan skim pampasan,” tambahnya.
Bagaimanapun, katanya, perlu ada pengawasan yang lebih meluas bagi memastikan Kementerian Pertahanan dibiayai dengan baik, di samping hanya meningkatkan belanjawannya.
Beliau mencadangkan, semua perolehan senjata utama diaudit oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara atau jawatankuasa pilihan khas untuk pertahanan.
Sementara itu, Aruna Gopinath, bekas profesor Universiti Pertahanan Nasional, berkata dana perlu ditumpukan ke arah melatih anggota tentera.
Katanya, mereka perlu dilengkapi dengan sumber dan dilatih dengan pengetahuan yang diperlukan untuk mengendalikan inovasi terkini, sambil menekankan perlunya kementerian mengkaji kemajuan teknologi baharu dalam bidang ini.
“Kita tidak boleh bergantung kepada negara lain. Kita harus bersiap sedia untuk menghadapi sebarang musibah. Jika perlu latihan di luar negara, maka itu harus disediakan,” katanya kepada FMT.